COVID-19: Sabah Catat Kematian Keempat, 14 Kes Positif Baharu Hari Ini

KOTA KINABALU: Satu kematian berkaitan Covid-19 dicatat di Sabah hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian untuk Sabah sebanyak empat.

Kematian keempat itu melibatkan seorang lelaki berusia 27 tahun yang membunuh diri di Pulau Gaya minggu lalu.

Mayat lelaki yang dipercayai warga asing itu ditemui di Kampung Pondo, Pulau Gaya pada 6 April dihantar ke Hospital Queen Elizabeth untuk bedah siasat sebelum beliau didapati positif Covid-19.

Terdapat 14 kes baharu dilaporkan di Sabah hari ini dan jumlah keseluruhan kes Covid-19 untuk negeri ini adalah sebanyak 280.

Menurut maklumat yang disiar Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Frankie Poon di akaun Facebooknya, Tawau mencatat kes positif yang tertinggi dengan 79 kes, diikuti dengan Lahad Datu dan Kota Kinabalu masing-masing dengan 39 kes.

Daerah Tuaran, Penampang dan Keningau masing-masing mencatat satu kes positif baru manakala daerah lain seperti Sandakan, Kinabatangan, Beaufort, Kunak, Putatan, Kota Belud, Sipitang, Papar, Tambunan, Ranau dan Semporna kekal tiada pertambahan kes.

Manakala, tiada pertambahan kes pulih pada hari ini dan jumlah keseluruhan yang pulih kekal sebanyak 108 orang.

Sehingga kini, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaporkan 77 kematian di seluruh Malaysia termasuk satu kes kematian baharu yang dilaporkan hari ini.

Kes kematian ke-77 merupakan lelaki warganegara Malaysia berusia 62 tahun dan mempunyai latar belakang penyakit jantung, darah tinggi dan penyakit buah pinggang.

Beliau merupakan peserta perhimpunan di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur. Beliau telah dirawat di Hospital Melaka pada 31 Mac dan disahkan meninggalkan dunia pada 13 April pukul 9.15 pagi.

KKM turut melaporkan 134 kes baharu, menjadikan jumlah keseluruhan 4,817 kes. Ia termasuk 2,276 kes yang telah pulih.

Seramai 66 pesakit kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 36 daripada mereka memerlukan bantuan pernafasan.

4964