Bilangan Kenderaan Meningkat, Hanya Dua Laluan Dibuka Ke Bandar Tawau

TAWAU, 13 April 2020 – Beberapa laluan utama ditutup untuk menghalang orang awam masuk ke daerah ini dalam usaha mencegah penyebaran Covid-19.

Ketua Polis Daerah Tawau, ACP Peter Ak Umbuas berkata, pihaknya bertindak membuat penutupan beberapa jalan disebabkan bilangan kenderaan yang masuk ke bandar Tawau meningkat.

“Kita bertindak tegas demi mengekang penularan wabak itu dan semua kenderaan terpaksa melalui sekatan pemeriksaan untuk ke bandar Tawau,” katanya.

Polis juga turut menutup Jalan Dominic ke bandar Tawau dan orang awam yang ingin masuk ke bandar Tawau perlu menggunakan Jalan Tanjung Batu dan Jalan Tawau Lama sahaja.

Bagi laluan utama di Jalan Utara hadapan Hospital Tawau pihak Polis menutup jalan tersebut bagi kegunaan orang ramai dan hanya boleh dilalui oleh petugas Frontliner seperti Polis, Hospital, Bomba termasuk kenderaan pengangkutan pelabuhan.

Tindakan tegas juga akan diambil kepada orang ramai yang merosakkan apa-apa peralatan sekatan jalan raya termasuk kon dan pita keselamatan Polis, perlakuan berkenaan dilakukan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab dan hanya mementingkan diri sendiri.

SumbeR: Polis Daerah Tawau