2 Lelaki Ingkar PKP Ditahan Bersama Pistol Tiruan Di KK

Pistol tiruan yang ditemui di dalam but kereta jenis Perodua Kancil dinaiki suspek dalam sekatan jalan raya di Kota Kinabalu.

KOTA KINABALU: Dua lelaki ditahan selepas didapati memiliki sepucuk pistol tiruan selain mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dalam sekatan jalan raya Op Covid-19, semalam.

Kejadian berlaku kira-kira jam 3 petang di Jalan Sulaman hadapan Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah, di sini, apabila anggota polis menahan kereta jenis Perodua Kancil dinaiki dua lelaki itu untuk pemeriksaan.

Ketika ditanya tujuan mereka keluar, salah seorang suspek memberi alasan menumpangkan rakannya untuk menghantar makanan kepada ahli keluarganya.

Bagaimanapun pemeriksaan di but kereta itu menemui sepucuk pistol tiruan jenama Glock.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, siasatan mendapati mereka dalam perjalanan pulang dari rumah keluarga salah seorang suspek dan ditahan anggota bertugas dalam sekatan jalan raya.

“Pemeriksaan di bahagian but kereta dinaiki kedua-dua suspek menemui sepucuk pistol tiruan.

“Soal siasat salah seorang suspek mengaku membeli senjata tiruan itu di sebuah kompleks beli belah di daerah ini tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, kedua-dua suspek berusia 19 dan 25 tahun ditahan kerana mengingkari PKP.

“Salah seorang suspek juga mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan kesalahan narkotik. Siasatan masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960.

“Siasatan turut dijalankan mengikut Seksyen 22(b) Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Seksyen 3(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawalan Tempatan Jangkitan 2020),” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *