Tindakan Tegas Jika Masih Degil Beli Ikan Di SAFMA Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Polis akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap orang ramai yang masih berdegil membeli barang basah di kawasan Kompleks Perikanan SAFMA, di sini.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, sebelum ini banyak aduan diterima berkenaan kawasan SAFMA dikunjungi ramai orang yang membeli ikan dan barang basah lain.

“Jadi hasil daripada mesyuarat yang kita persetujui, SAFMA akan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 6 petang dan hanya pemborong besar dan nelayan sahaja yang dibenarkan melakukan aktiviti dan urusan di kawasan itu.

“Langkah berkenaan adalah berkuatkuasa serta merta pada hari ini dan meminta masyarakat awam untuk mematuhinya yang turut selaras dengan pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Saya tekankan, tiada lagi individu-individu yang secara perseorangan atau pemborong kecil untuk membeli ikan di SAFMA. Tujuan ini adalah untuk memutuskan penularan wabak Covid-19 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengiringi Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass melakukan tinjauan ke Kompleks Perikanan SAFMA, di sini, hari ini.

Hari ini, kerajaan Sabah menerusi Setiausaha Kerajaan Negerinya, Datuk Safar Untong membuat kenyataan mengenai sebarang aktiviti menjaja ikan di kawasan tumpuan itu dihentikan serta merta sepanjang pelaksanaan PKP.

Ini memandangkan terdapat aduan mengenai keadaan sesak di kompleks berkenaan setiap hari.

Mengulas lanjut Habibi berkata, pihaknya akan memantau rapat setiap aktiviti di kawasan berkenaan bagi mengelakkan sebarang perhimpunan atau kesesakan ketika berurusan di kompleks itu.

“Sekali lagi saya tekankan di sini, masyarakat di bandar raya ini tidak boleh datang lagi untuk membeli ikan secara individu.

“Sekirannya berlaku juga, saya akan mengambil tindakan atas kerana mengingkari arahan PKP,” katanya.

Sementara itu, berhubung penguatkuasaan PKP, Habibi berkata, setakat ini seramai 16 individu termasuk seorang wanita sudah didakwa di Mahkamah.

“Semua individu ini dituduh mengikut Seksyen 26(3) Akta Polis dan Seksyen 22 Akta Penyakit Berjangkit,” katanya. – Berita Sabah

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *