KOTA KINABALI: Satu fenomena astronomi dijangka berlaku pada jam 2.08 pagi ini di mana bulan akan berada pada kedudukan paling hampir dengan bumi (perigee).
Menurut Profesor Kehormat Universiti Malaya, Jabatan Fiqh & Usul Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya, Profesor Dr Mohd Zambri Zainuddin, pada masa itu jarak antara bulan dan bumi ialah 356,908km.
Fenomena ini berlaku disebabkan oleh bentuk orbit bulan yang mengelilingi bumi sedikit bujur (elips) menjadikan jarak antara bumi dan bulan akan sentiasa berubah.
“Lebih 8 jam selepas fenomena Perigee berlaku, bulan akan mengalami satu lagi fenomena iaitu fasa bulan penuh kira-kira pukul 10:35 pagi.
“Walau bagaimanapun, fenomena Bulan Penuh ini kita tidak dapat melihat kerana Bulan akan terbenam pada pukul 6:13 pagi,” katanya
Menurut laman sesawang Amanac, fenomena ini dinamakan Pink Supermoon kerana ia berlaku pada April dan merupakan Bulan Penuh pertama pada musim bunga selain merujuk kepada bunga liar berwarna merah jambu, Wild Ground Phlox yang mekar pada musim bunga di Amerika Utara.
Selain Pink Supermoon, laman web Time and Date turut menyatakan nama lain bagi bulan purnama ini adalah Grass Moon, Fish Moon, Hare Moon dan Egg Moon – Penerangan