Langgar PKP, Dua Lelaki Ditahan Di Lahad Datu Berdepan Hukuman Gantung

Dua lelaki diberkas melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersama dadah..

LAHAD DATU: Dua lelaki bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah bakal berdepan hukuman gantung selepas diberkas bersama tiga peket dadah di perairan Terumbu Gusung, dekat sini, tengah malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 12.03 tengah malam itu, suspek berusia 36 tahun dan 45 tahun diberkas bersama kira-kira 110 gram dadah.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Empat Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali, berkata sepasukan anggota yang sedang menjalankan rondaan di perairan itu sempena Ops COVID-19 terserempak sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Beliau berkata, bot itu kemudiannya segera dihampiri untuk pemeriksaan lanjut.

“Sebaik diperiksa, dua lelaki tempatan berada dalam bot itu. Hasil pemeriksaan ke atas suspek, berjaya menemui tiga peket lutsinar berisi hablur jernih dan satu peket lagi berisi kertas timah.

“Pemeriksaan lanjut, anggota bertugas turut menemui satu bungkusan plastik warna kuning mengandungi hasil sarang burung walit dan satu bungkus plastik warna kuning pula mengandungi alat penimbang.

“Siasatan lanjut masih dijalankan berkaitan hasil sarang burung berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Mohamad Pajeri berkata, kedua-dua suspek kemudiannya diberkas dan bot serta enjin digunakan suspek turut dirampas.

“Hasil keseluruhan rampasan dianggarkan sejumlah RM21,130 bersama suspek dibawa ke Markas PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

“Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 23 Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1998 dan Seksyen 25(1)(N) Peraturan-peraturan Pendaftaran Negara 1990 serta Enakmen Pemulihan Hidupan Liar 1997,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *