Ingkar PKP: 10 Individu Dipenjara & Denda Di Tawau

TAWAU: Mahkamah Majistret Tawau menjatuhkan hukuman penjara dan denda ke atas 10 individu termasuk tiga pesalah bawah umur yang melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Tawau Amir Shah Amir Hassan menjatuhkan hukuman berkenaan selepas semua tertuduh berusia antara 16 hingga 43 tahun itu mengaku salah sebaik pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah secara berasingan.

Semua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara 2 hingga 5 April di beberapa lokasi dan tangkapan berasingan.

Mahkamah di sini menetapkan hukuman denda antara RM300 hingga RM1,000 jika gagal bayar penjara antara 14 hari hingga tiga bulan terhadap enam tertuduh dewasa iaitu Mohd Faizal Abd Hakim, 34, Syed Omar Agil, 19, Minggu Mohd Kassim, 43, Mohd Sharimun Herman, 25, Razkumar Dentia, 30 dan Rahman Amin, 29.

Manakala seorang tertuduh dewasa Mohd Shafri Jefri, 22, dikenakan hukuman penjara tiga bulan yang berkuatkuasa hari ini.

Mahkamah juga menetapkan tiga tertuduh terbabit diserahkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) selepas menjalani hukuman penjara dan membayar denda kerana tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah semasa ditahan.

Sementara itu, tiga tertuduh bawah umur pula, Amir Shah menetapkan masing-masing pada 30 April dan 14 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Dalam pada itu, Amir Shah juga turut mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang pesalah bawah umur yang gagal hadir ke mahkamah bagi kesalahan yang sama.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwaraya Mohammed Ali Imran Hassan manakala semua tertuduh tidak diwakili peguam.

Mohammed Ali meminta mahkamah menjatuhkan hukuman berat ke atas semua tertuduh sebagai pengajaran kepada masyarakat Tawau yang masih tidak mengambil berat arahan PKP.

Beliau menjelaskan mahkamah juga perlu mengambil kira keadaan daerah Tawau yang diisytihar zon merah selepas mencatatkan daerah paling tinggi kes COVID-19.

SumbeR: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *