“B40 Terlebih Dahulu Terima Bantuan, Seterusnya M40” – Bayaran Fasa Pertama BPN Mulai Esok

Tengku Zafrul memberi penjelasan tentang pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

KUALA LUMPUR: Pembayaran fasa pertama Bantuan Prihatin Nasional (BPN) akan tertumpu kepada golongan B40 berikutan kesusahan yang dialami khususnya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berkuat kuasa sejak 18 Mac lepas, susulan penularan Covid-19.

Bercakap kepada Bernama di Putrajaya, Sabtu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pembayaran itu akan dilaksanakan secara berperingkat bermula Isnin ini (6 April) sehingga 15 April yang dijangka memberi manfaat kepada kira-kira 8.3 juta penerima isi rumah dan individu bujang.

“Golongan B40 akan terlebih dahulu menerima bantuan ini dan seterusnya golongan M40,” katanya.

Terdahulu, Tengku Zafrul dalam kenyataan pada Sabtu berkata, pembayaran BPN fasa pertama telah diawalkan kepada 6 April membabitkan peruntukan sebanyak RM5.63 bilion, lebih awal daripada cadangan asal pembayaran iaitu pada akhir April ini.

Kerajaan pada 27 Mac lepas mengumumkan BPN sebanyak RM9.24 bilion dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat 2020 (Prihatin) bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir.

Pembayaran BPN ialah RM1,600 kepada golongan isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah; RM1,000 kepada isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000; RM800 kepada individu bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah; dan RM500 kepada individu bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000.

Tengku Zafrul berkata, mana-mana pihak yang masih belum berdaftar untuk mendapatkan BPN boleh berbuat demikian secara dalam talian kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Ditanya mengenai cabaran ekonomi Malaysia berikutan Covid-19, beliau berkata Bank Negara Malaysia (BNM) semalam telah mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) bagi tahun ini pada kadar antara -2 peratus hingga 0.5 peratus susulan permintaan global yang lemah serta gangguan rantaian bekalan global dan PKP.

“(Unjuran) ini telah mengambil kira pakej rangsangan PRIHATIN yang dijangka dapat menambah 2.8 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK untuk 2020. Ketika ini, kita berada dalam situasi yang tidak pernah dijangkakan. Jadi kita sedar mengenai apa yang berlaku dalam ekonomi global,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, mengambil contoh China yang telah menghadapi pandemik Covid-19 lebih awal dari negara lain serta keadaan ekonomi yang semakin pulih di negara itu, ia dijangka akan memberi limpahan positif kepada rantau ini.

“Saya harap kita dapat belajar dari negara-negara yang berjaya menangani Covid-19. China telah menunjukkan kemajuan yang bagus.

“Jadi ini akan membantu negara-negara yang mempunyai banyak perdagangan dengan China. Saya berharap apa yang dilakukan oleh kerajaan hari ini untuk menangani Covid-19 akan menaikkan potensi ekonomi kita,” kata beliau.

12389