168 Rakyat Malaysia Terkandas Di Nunukan Dijangka Dibawa Pulang Selasa Ini

Video rayuan berdurasi satu minit 36 oleh Rizamsyah bersama lebih 20 penginap Hotel Gita Nunukan ini tular di media sosial pada tiga hari lepas.

KOTA KINABALU: Angka rakyat Malaysia terkandas di Nunukan, Kalimantan Utara (KALTARA) Indonesia yang dikesan kini seramai 168 orang dan usaha giat dijalankan untuk membawa mereka pulang ke tanahair secepat mungkin.

Utusan Borneo dimaklumkan bahawa mereka akan dibawa pulang Selasa ini sekiranya proses dokumentasi dan persefahaman dua hala antara kerajaan Malaysia-Indonesia dicapai.

Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal juga sudah meminta agensi-agensi berkaitan kerajaan mengambil tindakan dan mengarahkan Pembantu Menteri Kewangan Sarifuddin Hata menyelaraskan usaha terbabit.

Sarifuddin

Sarifuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merotai berkata Kerajaan Negeri berusaha membantu mereka yang terkandas termasuk penyediaan fasiliti diperlukan.

“Kita masih menunggu laporan Konsulat (Malaysia) di Pontianak Kalimantan Barat dan jika semua berjalan lancar, kita akan usahakan membawa semua balik secepat mungkin.

“Selewat-lewatnya Selasa ini, sebaik kebenaran khas diterima susulan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya ketika dihubungi Utusan Borneo, di sini.

Sarifuddin berkata kesemua mereka yang terkandas diminta mendaftar di Pelabuhan Tunon Taka dan feri penumpang akan disediakan (jika tidak cukup, feri akan ditambah).

Begitupun, bantuan itu tidak termasuk kos perjalanan mengikut feri dari Nunukan ke Tawau, dan mereka juga akan dikuarantin 14 hari sebaik tiba Terminal Feri Tawau.

Rizamsyah

“Kita nasihatkan rakyat kita jangan ikut laluan tikus demi keselamatan diri khususnya jika melibatkan orang tua, kanak-kanak dan orang yang tidak sihat kerana sangat berisiko.

“Lebih baik jika ikut laluan rasmi, sekurang-kurangnya keselamatan diri lebih terjamin dan kita harap mereka bersabar sementara semua proses selesai dijalankan,” katanya.

Pengarah Imigresen Sabah Datuk Dr Muhamad Sade Mohamad Amin yang dihubungi mengesahkan usaha giat dijalankan dan perkembangan lanjut akan dimaklumkan kemudian.

Rakyat Malaysia yang terkandas, peniaga, Ahmad Rizamsyah Mohd Noor, 28, turut mengesahkan bahawa mereka sudah dimaklumkan boleh balik ke Tawau pada Selasa.

“Alhamdulillah kami sudah menerima khabar gembira itu cuma sekarang kami sengsara sebab terpaksa mencari cara terus bertahan sehingga Selasa kerana kewangan kian terhad.

“Sekarang kami terpaksa berkongsi menyewa bilik dua keluarga,” katanya, namun bersyukur dengan perkembangan baharu yang diterima dan tidak sabar balik ke tanahair.

Rizamsyah juga berterima kasih dengan Ketua Menteri, Kerajaan Negeri, pemimpin, warga Nunukan yang menyumbangkan makanan serta dermawan yang sudi menampung kos perjalanan mereka dari Nunukan ke Tawau.

Sebelum ini, rakyat Malaysia yang terkandas di pulau bersempadan Tawau itu mendapat perhatian ramai berikutan desakan dan tekanan dihadapi selepas tidak dapat meneruskan perjalanan balik ke tanahair susulan penguatkuasaan PKP.

SumbeR: Utusan Borneo

4617