Dua Kali Tegur Masih Degil Sebab Itu Dipukul, Bukan Ditangkap

KOTA KINABALU: Polis Sabah akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap pegawainya di Kunak yang merotan enam remaja kerana ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), malah memperlekeh pihak berkuasa yang telah membuat teguran kepada mereka sebanyak dua kali.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata, jika dilihat daripada sudut penguatkuasaan, tindakan pegawai itu memang tidak wajar, namun daripada segi moral, itu adalah umpama seorang yang lebih tua memberi pengajaran kepada orang muda yang ingkar arahan.

Katanya, pihak polis sebenarnya telah menegur kumpulan remaja itu dua kali tetapi mereka tetap tidak bersurai malah mentertawakan teguran berkenaan sambil menghisap rokok.

Beliau berkata, dalam kejadian di Kampung Pangi Tengah itu, pasukan polis sedang membantu menyampaikan bantuan kepada penduduk kampung apabila terserempak dengan kumpulan remaja yang sedang berkumpul lalu memberikan teguran untuk mereka balik ke rumah.

“Semasa menyampaikan bantuan itu kumpulan pegawai ini dan anggotanya telah terserempak dengan enam orang remaja mereka telah diarahkan untuk bersurai kerana tiada tujuan khusus untuk berada di sana, setelah memberi nasihat pegawai dan anggota ini meneruskan tugas memberikan bantuan kepada penduduk Kampung Pangi Tengah.

“Sudah selesai dalam perjalanan balik pegawai dan anggota ini terserempak lagi dengan remaja tersebut, sekali lagi beri nasihat supaya mereka pulang tetapi nasihat ini tidak diendahkan, mereka ketawa tidak ambil serius ketawa sambil hisap rokok, maka untuk tujuan itu pegawai ini memberikan nasihat semasa berikan nasihat dia ternampak ada ranting di tepi itu,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Sabah hari ini.

Semalam, tersebar sebuah video memaparkan seorang pegawai polis bertindak memukul enam remaja berkenaan menggunakan ranting kayu kerana ingkar arahan untuk balik ke rumah masing-masing.

Video berkenaan mendapat pelbagai reaksi di media sosial terutama golongan netizen yang memuji langkah pihak berkuasa yang tegas dalam melaksanakan tugas memastikan rakyat mematuhi PKP.

Bagaimanapun, ada juga segelintir pengguna alam maya yang mempersoalkan tindakan memukul itu kerana dikatakan boleh mendatangkan kecederaan kepada remaja tersebut.

Zaini berkata, tindakan di peringkat jabatan akan diambil ke atas pegawai tersebut, manakala kumpulan remaja itu sebenarnya bernasib baik kerana mereka tidak ditangkap sebaliknya polis hanya memberi pengajaran moral kepada mereka.

Katanya, memang jelas di dalam video itu salah seorang remaja dipukul beberapa kali tetapi itu disebabkan lelaki berkenaan agak agresif ketika ditegur.

“Tetapi kalau kita lihat pukulan itu bukan pukulan yang betul-betul ingin mendera, kemudian mereka ini pun tidak diambil tindakan lanjut tangkap atau sebagainya sebab cuma mahu bagi kesedaran atas dasar mereka kanak-kanak remaja tidak matang.

“Kita juga dapat komen-komen daripada orang ramai yang sebenarnya memuji perbuatan polis,daripada kita tangkap budak-budak ini rosak perbuatan dia kita bagi nasihat cuma sedikit cara dia menegur itu pakai ranting nampak agak kasar.

“Sebenarnya bukan tujuan dia mahu pukul atau sebagainya, apa pun pegawai ini kita akan ambil tindakan jabatan sebab ia mencerminkan perbuatan tidak sewajarnya dilakukan anggota polis semasa PKP walaupun niat dia baik, cara dia itu tidak kena,” jelas beliau.

Zaini berkata, golongan remaja seperti itu yang masih tidak matang perlu diajar agar mereka patuh kepada undang-undang.

SumbeR: BorneoToday

2962