Polis KK Terima 20 Laporan Penipuan Topeng Muka & Sanitizer

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU : Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu menerima 20 laporan penipuan melibatkan jumlah kerugian RM92,203 bagi bekalan topeng dan cecair pembasmi kuman yang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, 20 laporan tersebut diterima sejak awal Februari lalu atas urusan pembelian topeng muka dan cecair pembasmi kuman melalui media sosial Facebook dan Instagram.

“Berdasarkan laporan yang dibuat, kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang melibatkan jumlah kerugian keseluruhan RM92,203.

Habibi Majinji

“Keterangan lanjut daripada mangsa yang terlibat menyatakan telah terlihat iklan penjualan topeng muka dan cecair pembasmi kuman daripada media sosial Facebook mahupun Instagram.

“Mangsa telah diarahkan untuk membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan. Setelah mangsa membuat bayaran ke dalam akaun yang diberikan, individu tersebut tidak dapat dihubungi dan topeng muka seta cecair pembasmi kuman yang ditempah tidak sampai,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Habibi berkata, sindiket penipuan tersebut berlaku berikutan negara ini dilanda wabak penyakit Covid-19.

Jelasnya, setakat ini, pihaknya telah berjaya menangkap tiga individu  pemilik akaun yang terlibat dalam sindiket penipuan tersebut dan berjaya di tuduh di mahkamah.

Menurutnya, pelbagai helah yang digunakan untuk memperdaya mangsa seperti Macau scam, love scam, tipu nombor tac, pinjaman tipu dan sebagainya.

Justeru, beliau menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada agar lebih bijak dan berhati-hati untuk menggunakan segala kemudahan media sosial bagi mengelakkan menjadi mangsa penipuan.

“Orang ramai juga boleh membuat pengesahan akaun yang diberikan scamer sama ada terlibat dalam kes penipuan atau sebaliknya di laman Web http://ccid.rmp.gov.my/semakmule/.

” Jika ada sebarang kemusyikilan berkenaan dengan panggipan scam bolehlah berhubung terus di talian 088-230 182 atau hotline polis KK 088-529 220,”katanya. – BorneoToday

515