COVID-19: 116,246 Jalani Saringan Pemeriksaan Di Sabah

Dr. Christina Rundi

KOTA KINABALU: Seramai 116,246 orang menjalani saringan pemeriksaan COVID-19 di negeri ini sehingga 29 Mac 2020.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah Datuk Dr. Christina Rundi berkata, daripada jumlah itu sebanyak 6,295 sampel diambil.

Katanya, hasil siasatan lanjut, seramai 90 kes adalah berkaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling iaitu 30 peratus kes di Tawau, 16.7 peratus dari Lahad Datu dan 10 peratus dari Kota Kinabalu.

Katanya, 94 kes lagi adalah kontak kepada kes-kes berkenaan. Selain itu, empat kes mempunyai sejarah pergerakan ke luar negara iaitu tiga kes dari Thailand dan satu kes dari United Kingdom.

Beliau berkata, dua kes mempunyai sejarah pergerakan di Semenanjung dan selebihnya masih lagi dalam siasatan untuk kepastian.

“Tidak ada kes positif dikesan pada 29 Mac 2020 daripada 320 ujian yang dijalankan dan ia menjadikan Sabah kekal dengan jumlah terkumpul positif COVID-19 sebanyak 197 kes.

“Sebanyak 21 pusat kuarantin dibuka dengan penambahan satu pusat baharu iaitu Pusat Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS) Kudat.

“Seramai 692 orang ditempatkan di pusat kuarantin dan sembilan orang dibenarkan pulang hari ini (29 Mac),” katanya dalam kenyataan di sini.

Christina berkata, bilangan terkumpul dalam pemantauan perintah pengawasan dan pemerhatian ‘Home Quarantine’ di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (APPPB) 1988 sehingga 29 Mac 2020 adalah seramai 5,777 orang.

Menurutnya, bilangan kontak rapat yang masih dalam perintah pengawasan dan pemerhatian oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) adalah seramai 5,243 orang manakala bilangan kontak rapat yang tamat tempoh kuarantin 14 hari adalah seramai 534 orang.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan agar syarikat akhbar tidak mengeluarkan artikel tanpa pengesahan tentang kesahihan berita yang dilaporkan kerana ia boleh mengundang keadaan panik yang tidak berasas.

Beliau merujuk perkara itu berhubung laporan salah sebuah akhbar tempatan Sabah bertajuk ‘Quarantine for State Medical Heads?’ pada 29 Mac 2020 yang menyiarkan berita fakta tidak sahih.

SumbeR: Utusan Borneo

441