5 Makanan Tradisional Kaum Bajau Di Sabah Yang Mungkin Anda Suka

Mungkin sesetengah daripada kita tidak tahu makanan-makanan unik yang terdapat di Sabah.

Di sini Sinar Plus ingin berkongsikan beberapa makanan tradisional suku kaum Bajau yang terdapat di Negeri di Bawah Bayu itu.

Selain dapat menikmati keindahan pulau-pulau, gunung-ganang, kawasan menarik yang lain, para pelancong juga dapat menikmati akan keenakan dan keunikan makanan suku kaum yang terdapat di Sabah.

Antara makanan tradisional masyarakat Bajau di Sabah adalah seperti :

1. Putu

Putu merupakan salah satu makanan tradisi suku kaum Bajau Pantai Timur di Sabah dan mempunyai peranan yang sama dengan nasi iaitu sebagai makanan utama.

Putu atau piutu ini boleh dijadikan makanan untuk menggantikan nasi. Orang tua suku kaum Bajau lebih suka makan putu berbanding nasi. Putu dihasilkan sepenuhnya dari ubi kayu yang diparut halus.

Rasa putu agak kenyal dan masam sedikit. Sesuai dimakan dengan ikan bakar, ikan goreng, ampap, sagol dan lain lain lauk tradisi Sabah. Semasa makan putu ini adalah tidak digalakkan untuk minum air jenis berkarbonat kerana akan berlaku tindak balas selepas makan putu. Perut akan rasa kembung dan tidak menyenangkan.

2. Sagol atau Siagol

Sagol mempunyai banyak panggilan seperti siagol,senagol. Sagol bermaksud dicampur atau mencampuradukkan. Secara khususnya merujuk kepada sejenis masakan tradisional yang menggunakan isi ikan (biasanya ikan pari dan ikan buntal, secara umumnya ikan yang mempunyai hati yang besar) Hati ikan pula akan dicincang bagi mengeluarkan minyak yang terdapat pada hati ikan. Minyak dari hati ikan ini akan memberi rasa kepada sagol.

3. Latok

Latok merupakan sejenis makanan yang diperolehi dari rumpai laut. Latok sememangnya sangat terkenal di kalangan suku kaum Bajau Laut yang kebanyakkannya tinggal di persisir pantai daerah Semporna, Sabah.

Latok boleh didapati di mana-mana pasar di Sabah dan juga dihidangkan di mana-mana restoran seafood di Sabah. Rasanya sedikit masin enak dimakan bersama sambal, ikan bakar dan nasi yang masih panas.

4. Kahanga

Kahanga merupakan makanan tradisional suku kaum Bajau Pantai Timur Sabah. kebanyakkan makanan Bajau dari Pantai Timur lebih kepada ubi kayu dan juga makanan laut. Cara untuk makan Kahanga ini adalah dengan menggunakan lidi pencungkil gigi bagi mengeluarkan sesungutnya. Lebih enak dimakan bersama sambal pencicah atau kuah, malah enak dimakan bersama nasi putih.

5. Tehe – Tehe

Tehe-tehe adalah sejenis makanan laut yang terkenal di kalangan Bajau Pantai Timur Sabah. Tehe-Tehe atau nama lainya iaitu landak laut banyak terdapat di dalam sekitar batu karang di perairan laut yang cetek. Ia amat berkhasiat dan baik untuk kesihatan.

Cara penyediaannya amat mudah, di mana anda perlu mencuci Tehe-Tehe tersebut terlebih dahulu. Selepas itu, masukkan beras ke dalamnya dan rebus. Selepas nasi sudah masak, potong Tehe-Tehe tersebut dan boleh dihidangkan.

Penulis: Adriana Amir
Foto: salamisimon1, nuraripgasli, watiefatin2707, groupsempornamar dan akuman999

2400