Pesakit PUI Covid-19 Bunuh Diri

Gambar Hiasan

KUALA LUMPUR: Seorang pesakit dalam pemantauan (PUI) Covid-19 yang dirawat di Hospital Serdang ditemui meninggal dunia di dalam tandas wad hospital berkenaan dipercayai membunuh diri, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof berkata, dalam kejadian pada 7.40 malam, pondok polis Hospital Serdang menerima maklumat daripada seorang jururawat hospital itu yang memberitahu pesakit berkenaan membunuh diri di tandas wad 7D.

“Mangsa berusia 62 tahun dipercayai mendaftar masuk ke hospital berkenaan pada 26 Mac lalu pada 2.30 pagi.

“Susulan laporan yang diterima, pegawai penyiasat kanan, ketua polis balai dan jurugambar hadir ke lokasi kejadian.

“Pihak polis dibekalkan peralatan perlindungan diri (PPE) untuk keselamatan bagi merakam gambar di tempat kejadian dari jarak jauh.

“Percakapan pengadu yang juga anggota polis di pondok polis berkenaan serta jururawat hospital, waris dan saksi turut dirakam untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Menurut beliau, mayat mangsa akan diuruskan oleh pihak hospital. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *