Penduduk Kampung Di Sabah Ambil Inisiatif Lakukan Sekatan Jalan Sepanjang Tempoh PKP

KOTA KINABALU, 27 Mac: Penduduk kampung di Sabah mula mengambil inisiatif sendiri melakukan sekatan di jalan masuk kampung masing-masing sebagai usaha memerangi penularan wabak COVID-19 sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tinjauan Bernama mendapati kebanyakan kampung telah meletak papan tanda atau kain rentang yang memberi amaran dan larangan keluar masuk penduduk di kawasan terbabit.

Selain itu, tinjauan di beberapa kampung mendapati ada penduduk sedang berkawal dan memantau setiap pergerakan keluar masuk kenderaan.

Orang luar yang memasuki kampung akan ditahan dan tidak dibenarkan masuk jika tidak mempunyai alasan munasabah atau keperluan mendesak, kata Mawie Sahak, 30, yang berkawal di jalan masuk Kampung Lapasan, Telipok dekat sini hari ini.

“Kami telah diarahkan oleh ketua kampung untuk melakukan sekatan jalan raya sebagai usaha membantu pihak berkuasa mengurangkan pergerakan orang ramai sepanjang tempoh PKP.

“Kami berharap usaha ini dapat mengekang penyebaran wabak COVID-19 ke kampung-kampung,” katanya sambil menambah bahawa penduduk kampung yang tinggal di bandar juga tidak dibenarkan balik ke kampung itu sebelum PKP berakhir.

Sementara itu, Ketua Kampung Pinagon Baru, Kiulu Martin Lotupas berkata beliau turut mengambil inisiatif untuk meletak kain rentang di laluan masuk bagi memastikan tiada orang luar memasuki kampung berkenaan sepanjang tempoh PKP.

“Selain itu, saya juga telah mengeluarkan surat arahan kepada penduduk kampung yang tinggal di bandar agar tidak balik ke kampung sepanjang perintah ini dikuatkuasakan.

“Kita tidak tahu sama ada mereka bebas daripada jangkitan COVID-19 atau tidak. Oleh itu, adalah lebih baik kita menguatkuasakan arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.

BERNAMA

925