Lelaki Mengamuk Cuba Serang Anggota RELA Di KK

KOTA KINABALU: Seorang lelaki ditahan selepas cuba menyerang anggota RELA yang menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Jeti Pasar Besar di sini, semalam.

Lelaki terbabit berang selepas anggota RELA berkenaan tidak membenarkannya ke pulang ke rumahnya di Pulau Gaya kerana PKP.

Dalam kejadian jam 2.15 petang itu, suspek berusia 40 tahun dikatakan baru selesai membantu rakannya menjual ikan di Pasar Besar Kota Kinabalu sejak jam 7 pagi.

Bagaimanapun dua anggota RELA yang berkawal di Jeti Pasar Besar Kota Kinabalu untuk menjalankan tugas PKP, tidak membenarkan suspek berbuat demikian dan meminta dia menunggu sehingga jam 5 petang.

Ini kerana dalam tempoh PKP, perjalanan ke Pulau Gaya hanya dibenarkan antara jam 5 petang hingga 7 malam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, suspek yang tidak berpuas hati kemudian menghampiri dua anggota RELA sambil kedua-dua tangan memegang kayu.

“Suspek menjerit ‘mengapa kamu tidak bagi saya pulang ke pulau (Pulau Gaya)’ sambil memegang kayu. Anggota RELA kemudian menerangkan pergerakan ke pulau hanya dibenarkan jam 5 petang hingga 7 malam seperti mana arahan PKP.

“Namun suspek bertindak agresif dan menjerit bahawa dia tidak takut mati. Anggota RELA kemudian meminta bantuan polis sebelum suspek ditahan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Habibi berkata, ketika dibawa menaiki van polis, suspek memecahkan tingkap cermin belakang van itu menggunakan kepalanya untuk meloloskan diri namun berjaya dihalang.

“Akibat tindakan itu, suspek cedera di kepala dan lengan kirinya. Suspek kemudian dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut manakala kayu yang digunakan ketika kejadian itu dirampas.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 22 (b) Akta Pencegahan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988,” katanya. – Berita Harian