
TAWAU: Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau menafikan Timbalan Pengarah Hospital Tawau Dr Azman Ibrahim berada dalam keadaan kritikal selepas didakwa dimasukan ke wad Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital berkenaan.
Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata demikian ketika dihubungi, di sini, hari ini

“Memang beliau (Azman) dirawat di wad ICU.
“Namun, itu bukan bermakna beliau kritikal seperti dakwaan segelintir pihak, sebaliknya hanya diasingkan daripada pesakit lain,” katanya.
Menurut Navindran, tujuan pengasingan itu dilakukan bagi memudahkan urusan rawatan lebih rapi memandangkan Azman diperlukan untuk operasi rawatan Covid-19 di daerah ini.
Terdahulu, tular berita di laman sosial Facebook mengatakan Azman dimasukkan di wad ICU akibat Covid-19 sehingga menimbulkan kekeliruan orang ramai yang beranggapan beliau kritikal.
Semalam, Borneo Today melaporkan Azman mengesahkan dirinya positif virus berkenaan sejak kelmarin dan kini sedang menjalani rawatan di Hospital Tawau.
Azman antara dua petugas hospital di Sabah yang disahkan positif Covid-19.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, sehingga pagi semalam, 80 petugas kesihatan KKM disahkan positif Covid-19.
Katanya, berdasarkan siasatan punca jangkitan semua anggota kesihatan ini bukan disebabkan oleh pengendalian pesakit di fasiliti kesihatan KKM.
SumbeR: BorneoToday