Jahid Jahim Sebenarnya Tidak Faham Apa Pakej Bantuan Sabah

Sarifuddin Hata

KOTA KINABALU: Setiausaha Agung Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Jahid Jahim sepatutnya melihat Pakej Bantuan Covid-19 Sabah secara menyeluruh bukannya tertumpu kepada kategori ketiga sahaja yang membabitkan peruntukan RM200 juta membina projek-projek kecil.

Pembantu Menteri Kewangan Sabah, Sarifuddin Hata berkata, kategori ketiga pakej tersebut adalah berbentuk rangsangan ekonomi dengan mencipta faktor yang mewujudkan kecairan pasaran, manakala pakej kedua telah memberi fokus kepada bantuan langsung untuk rakyat.

“Inilah susah juga kalau semua dikomen tetapi tidak baca habis apa lagi yang kurang, apa yang Jahid kata hanya melihat kategori nombor tiga tetapi tidak melihat kategori kedua kepada penduduk terjejas, kita ada beri makanan kepada rakyat Sabah yang terjejas RM18 juta dan RM2 juta untuk pelajar di Sabah dan di Semenanjung dan Sarawak ini tidak pula dinyatakan.

“Cuba lihat secara menyeluruh apa yang diumumkan Ketua Menteri daripada barisan hadapan sampai rakyat dan pelajar diberi bantuan negeri lain mana ada beri bantuan makanan, Sabah bagi RM18 juta, lepas tu kita berikan one-off untuk B40 RM300, kita ada juga kasi e-kasih yang miskin tegar RM500 secara one-off, banyak lagi insentif lain.

“Sepatutnya dia bandingkan dengan negeri-negeri lain di Malaysia termasuk Sarawak sekali pun Sarawak hanya beri bantuan kepada ketegori B40 RM250 selama enam bulan tetapi tiada bantuan makanan, kita ada bagi bantuan makanan sepatutnya dia melihat secara menyeluruh buat perbandingan dengan negeri-negeri lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jahid Jahim

Beliau mengulas kenyataan Jahid yang mempertikai langkah kerajaan memperuntukkan RM200 juta untuk 1,000 projek infrastruktur dan kemudahan asas rakyat kerana dikatakan tidak menepati keadaan semasa iaitu rakyat terjejas pendapatan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Jahid bagaimanapun tidak mengulas tentang kategori kedua bajet tersebut yang memfokuskan kepada rakyat terjejas dengan nilai peruntukan sekurang-kurangnya sebanyak RM150 juta tidak termasuk pelbagai diskaun cukai untuk rakyat.

Sarifuddin berkata, jika Jahid tetap mahu mengulas tentang kategori ketiga, beliau sebenarnya tidak faham bagaimana RM200 juta itu boleh membina kecairan pasaran yang menjadi asas kepada kemajuan ekonomi seterusnya memanfaatkan rakyat segenap peringkat.

Katanya, peruntukan itu sama dengan RM2 bilion yang disediakan Kerajaan Persekutuan untuk membina projek-projek kecil seluruh negara.

Selain projek baharu, peruntukan RM200 juta juga digunakan bagi menaik taraf infrastruktur di kawasan luar bandar serta mengatasi masalah seperti kekurangan bekalan air.

“Termasuk juga industri kecil dan sederhana (IKS), peniaga-peniaga kecil mikro yang dberi pinjaman khas dana kerajaan melalui Sabah Development Bank dan Sabah Credit Corpotation begitu juga dengan kontraktor-kontraktor kecil-kecilan yang kelas F bumiputera yang banyak bergantung kepada projek-projek kerajaan.

“Kalau tidak dibantu akhirnya mereka juga susah mereka bukan ada pendapatan tetap bulanan jadi apabila kontraktor-kontraktor ini diberikan projek-projek kerajaan, projek-projek kecil dan mereka juga perlukan bahan, perlukan pekerja, pemandu lori semua bekerja semua dapat upah.

“Bila dapat upah boleh juga membeli keperluan keluarga di kedai runcit, di pasar raya di pasar-pasar, beli sayur, beli ikan semua orang dapat manfaatnya, jadi kecairan ada dalam pasaran ini adalah satu tindakan rangsangan ekonomi yang cukup baik cukup menyeluruh,” jelas beliau.

Tambah Sarifuddin, projek-projek kecil tersebut bagaimanapun hanya dilaksanakan selepas tempoh PKP berakhir untuk memastikan ekonomi dapat dipacu segera selepas terjejas teruk.

“Kita bukan laksanakan sekarang, tetapi sebaik sahaja selepas PKP, pada masa itu nanti orang ramai masih terkesan, maka mesti ada kecairan dalam pasaran.

“Tempoh enam bulan sekurang-kurangnya diperlukan untuk merancakkan kembali ekonomi jadi projek-projek ini akan membantu kecairan pasaran kita,” katanya.

SumbeR: BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *