Sabah Umum Pakej Bantuan RM670 Juta Kurangkan Kesan Covid-19

KOTA KINABALU: Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal hari ini mengumumkan Pakej Bantuan Covid-19 Sabah bernilai RM670 juta yang meliputi bantuan menyeluruh kepada setiap rakyat di Sabah yang terjejas berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Ketua Menteri berkata, pakej itu mempunyai 15 bantuan terbahagi kepada tiga iaitu kategori pertama, Bantuan Kepada Petugas Barisan Hadapan; kategori kedua, Bantuan Kepada Rakyat Yang Terjejas dan kategori ketiga Memperkukuh Perniagaan Serta Menambah Baik Kualiti Infrastruktur dan Kemudahan Asas Luar Bandar.

Pakej tersebut memperuntukkan sebanyak RM50 juta untuk memastikan bekalan barangan kritikal kepada petugas di barisan hadapan iaitu doktor, jururawat, pasukan kesihatan dan pihak imigresen cukup sepanjang masa.

Beliau turut mengumumkan kerajaan negeri akan menanggung bekalan makanan kepada semua petugas barisan hadapan yang bekerja setiap hari dengan peruntukan sebanyak RM10 juta.

Bagi memastikan bekalan makanan cukup kepada rakyat yang terjejas pula, sebanyak RM20 juta diperuntukkan iaitu RM18 juta bagi menghantar bekalan makanan ke kampung-kampung manakala RM2 juta lagi untuk menyediakan bekalan makanan kepada para pelajar Sabah di institusi pengajian tinggi di Sabah dan Semenanjung yang tidak dapat keluar.

Turut tidak dilupakan adalah golongan rakyat miskin tegar dan miskin yang berdaftar di dalam e-kasih akan menerima bantuan kewangan secara one-off bagi meringankan beban mereka dengan jumlah keseluruhan RM20 juta.

“Maka, bagi meringankan kesulitan yang dihadapi golongan tersebut dalam menampung keperluan harian dalam masa yang susah ini, kerajaan negeri telah memutuskan untuk memberikan bantuan khas tunai sebanyak RM500 seorang secara “one-off” kepada ketua isi rumah miskin dan ketua isi rumah miskin tegar yang berdaftar dalam sistem e-Kasih.

“Bantuan ini akan melibatkan peruntukan sebanyak RM20 juta yang dijangka memberikan faedah kepada 22,456 ketua isi rumah miskin dan 15,747 ketua isi rumah miskin tegar di seluruh Sabah,” katanya.

Bantuan kewangan one-off sebanyak RM300 turut diberikan kepada semua rakyat Sabah golongan berpendapatan rendah (B40) termasuk di Semenanjung melalui peruntukan sebanyak RM80 juta.

“Ini termasuklah anak-anak Sabah yang bekerja di Semenanjung Malaysia yang dianggarkan seramai 30,000 orang, pemandu-pemandu teksi (13,132 orang), petani atau pekebun-pekebun kecil, nelayan dan penternak (169,630 orang), porter dan malim gunung (339 orang), serta kumpulan “vulnerable” seperti warga tua, anak-anak yatim, orang kelainan upaya (62,638 orang), dan ibu-ibu tunggal  (6,500 orang) di seluruh Sabah,” katanya.

Bagi golongan penjaja kecil-kecilan yang terjejas, kerajaan turut menyediakan pinjaman mikrokredit sebanyak RM20 juta melalui Perbadanan Pinjaman Sabah dengan kadar faedah  terendah sebanyak dua peratus termasuk pengecualian bayaran lesen penjaja sepanjang tahun 2020.

Dana Industri Kecil Sederhana (IKS) sebanyak RM50 juta turut disediakan kepada penggiat industri IKS dengan kadar pinjaman rendah sebanyak 3.5 peratus sahaja.

Selain itu, cukai tanah dan cukai pintu masing-masing diberikan diskaun sebanyak 30 peratus dan 20 peratus sepanjang tahun ini, manakala bagi yang telah membuat bayaran, rebat akan diberikan pada tahun 2021.

Bila air pula diberikan percuma kepada rakyat selama tiga bulan bermula April manakala diskaun 30 peratus untuk bekalan elektrik juga bermula April akan dilakukan.

Bagi penghuni program perumahan rakyat (PPR) mereka dikecualikan daripada membayar sewa selama enam bulan membabitkan kos sebanyak RM21.1 juta kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, bagi memastikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dapat terus berfungsi, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM37 juta untuk bayaran elaun setiap MPKK sepanjang 10 bulan termasuk bulan Mac.

Dalam pada itu, untuk memastikan kemudahan infrastruktur asas luar bandar terus dipertingkatkan, kerajaan akan melaksanakan 1,000 projek di kampung-kampung dalam kawasan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Majlis Perbandaran Sandakan, Majlis Perbandaran Tawau serta semua daerah seluruh Sabah membabitkan peruntukan RM200 juta.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *