COVID-19: Indonesia Dalam Bahaya

Kakitangan kesihatan bersedia memunggah bekalan perubatan diterima daripada kerajaan China di Lapangan Terbang Halim Perdanakusuma di Jakarta, semalam.

Jakarta: Sekurang-kurangnya 11,000 hingga 71,000 penduduk Indonesia berdepan risiko dijangkiti wabak Covid-19 sebelum sambutan Aidilfitri tahun ini sekiranya langkah drastik tidak diambil.

Pengkaji bagi pengawalan penyakit dan biostatistik, Ridzi Fahdri Elyazar bersama kumpulan penyelidiknya di Unit Kajian Klinikal Eijkman-Oxford, menggunakan kaedah turutan geometrik bagi meneliti masa yang mungkin diperuntukkan bagi pertambahan berganda kes Covid-19 di Indonesia.

Mengikut pengiraannya, Indonesia dijangka berdepan peningkatan mendadak sebanyak 71,000 kes Covid-19 menjelang penghujung April ini.

Berdasarkan laporan Jakarta Post, mereka merujuk kes Covid-19 membabitkan dua negara dengan kematian tertinggi iaitu Itali mencatatkan pertambahan berganda dalam hanya lima hari manakala Iran pula dalam tempoh tujuh hari.

Menurut Iqbal, gandaan kes berpanjangan bagi negara yang gagal mengambil langkah drastik mencegah penularan wabak berkenaan, umpamanya Korea Selatan dan China yang mencatatkan kes berganda dalam tempoh 13 dan 33 hari.

Di Indonesia, kes Covid-19 menunjukkan peningkatan berganda dalam tempoh tiga hari apabila ia meningkat daripada 172 kes disahkan positif wabak itu pada 17 Mac kepada 369 kes Jumaat lalu.

“Semakin pendek tempoh masa gandaan kes, ia petanda keadaan lebih berbahaya,” katanya.

Katanya, berdasarkan kajian dilaksanakan, pertambahan kes mengikut tempoh masa tertentu bergantung kepada keupayaan virus tersebar, jumlah dapatan kes dan keberkesanan usaha pencegahannya.

Menurutnya, sekiranya langkah pengawalan tidak dilaksanakan segera, berkemungkinan penyebaran Covid-19 di Indonesia boleh mencecah antara 11,000 hingga 71,000 menjelang penghujung April nanti.

Katanya, ramalan itu sepatutnya dipandang serius oleh kerajaan untuk segera melaksanakan langkah pengawalan drastik bagi menguruskan pandemik itu selain meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai penjarakan sosial.

“Presiden Indonesia, Joko Widodo, menggesa masyarakat umum mengamalkan penjarakan sosial dan kami berharap rakyat akan melaksanakannya.

“Hanya melalui cara ini risiko kenaikan berganda kes Covid-19 dapat dikurangkan. Ia perlu dibuat dengan segera dan lebih cekap,” katanya.

Sementara itu, mengikut unjuran Profesor Matematik Gunaan di University of Essex, England dan Khalifa University of Science and Technologi di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Covid-19 di Indonesia dijangka memuncak pada Ramadan nanti.

Katanya, dengan jangkaan akan berlaku perintah berkurung dan orang awam masih menjalankan aktiviti seperti biasa, akan terdapat dua kumpulan manusia iaitu yang sihat dan sakit.

“Kira-kira 50 peratus populasi boleh dijangkiti virus ini dalam tempoh 50 hari selepas pengumuman kes pertama 2 Mac lalu.

“Kita guna Jakarta sebagai sampel dengan populasi 10 juta penduduk. Pada tempoh puncak, virus berkenaan boleh menjangkiti separuh populasi.

“Ini adalah ramalan pesimistik yang dibuat melalui model matematik mudah. Saya juga tentu saja berharap yang jangkaan ini adalah salah,” katanya. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *