Lima Sekatan Jalan Raya 24 Jam Di Lahad Datu

Nasri ketika menyampaikan maklumat operasi kepada salah seorang pemandu.

LAHAD DATU: Lima kawasan sekatan jalan raya akan digiatkan dalam Op COVID-19 sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di daerah ini.

Lima kawasan itu ialah jalan keluar dan masuk Lahad Datu – Sandakan, Lahad Datu – Tawau, Lahad Datu – Felda Sahabat, Sungai Nipah dan sekitar bandar.

Menurut Ketua Polis Daerah Lahad Datu, sekatan itu akan dikuatkuasakan 24 jam bagi mengawal pergerakan orang ramai yang mahu masuk atau keluar daerah ini.

Nasri ketika bertemu media untuk memberi maklumat lanjut.

“Orang ramai tidak dibenarkan masuk atau keluar tanpa alasan munasabah antaranya urusan kematian, menghantar pesakit tenat atau individu itu sendiri yang sakit.

“Pihak kita akan membuat pemeriksaan rapi atau pengesahan alasan tersebut dan jika didapati tidak benar mereka akan disuruh patah balik ke rumah masing-masing,” katanya kepada media selepas menyertai penugasan sekatan jalan raya di Simpang Tamoi dekat sini, semalam.

Menurutnya, sejak pelaksanaan PKP selama empat hari lalu, kadar pematuhan arahan di kalangan masyarakat Lahad Datu berada pada tahap 85 hingga 90 peratus.

Katanya, masih ada sebilangan masyarakat tidak mematuhi arahan bagi pencegahan COVID-19 dengan alasan kerana tidak tahu, maklumat tidak sampai atau degil.

“Bagi menggiatkan lagi penguatkuasaan PKP sebanyak 13 pasukan yang akan bergerak ke kawasan kampung dan taman perumahan bagi mengambil tindakan terhadap golongan yang masih keluar lepak, mengadakan aktiviti beramai-ramai dan seumpamanya,” katanya.

Mengulas mengenai kekuatan anggota yang akan digerakkan menjayakan PKP, Nasri berkata semua aset dan anggota kecuali petugas pengurusan pejabat akan bertugas secara bergilir-gilir.

Tambahnya, Op COVID-19 dijayakan bersama dengan penglibatan agensi lain termasuk Angkatan Tentera Malaysia yang bermula hari ini.

Nasri mengulangi gesaannya kepada masyarakat agar hentikan penyebaran maklumat palsu.

“Semua masyarakat di dalam atau luar Lahad Datu jangan sewenang-sewenangnya menyebarkan maklumat palsu kerana anda boleh diambil tindakan undang-undang,” katanya.

SumbeR: Utusan Borneo

6621