COVID-19: Individu Masuk Sabah Dari Luar Negara Dikuarantin

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri mengarahkan semua individu yang memasuki Sabah dari luar negara, dikuarantin selama 14 hari sebagai langkah menangani penularan wabak COVID-19.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Safar Untong, berkata tindakan memasukkan mereka ke pusat kuarantin itu diputuskan pada mesyuarat Sabah COVID-19 Command Centre, semalam.

“Langkah ini selaras keputusan sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN), 20 Mac lalu, iaitu kerajaan negeri akan melaksanakan arahan terbabit mulai 22 hingga 31 Mac ini.

“Semua individu yang memasuki Sabah terus dari luar negara sama ada melalui pengangkutan udara, laut, sungai dan darat, akan dikuarantin di pusat kuarantin selama 14 hari,” katanya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan negeri mengarahkan penutupan operasi jeti penumpang awam antara daerah, termasuk di Kudat, Sipitang, Kota Kinabalu, Lahad Datu, Sandakan dan Tawau, dari 22 hingga 31 Mac ini.

Bagaimanapun, katanya, perkhidmatan berkenaan boleh digunakan bagi kes kecemasan.

Dalam pada itu, Safar memaklumkan setakat ini, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sudah melakukan sekatan jalan di 17 daerah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bagaimanapun, beliau berkata, kerajaan negeri telah mengarahkan supaya sekatan jalan terbabit dilaksanakan di seluruh negeri dengan serta-merta.

SumbeR: Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *