Lahad Datu ‘LockDown’ Jika Masyarakat Terus Ingkar

LAHAD DATU: Daerah ini boleh berdepan tindakan ‘lockdown’ sekiranya masyarakat setempat terus mengingkari arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ketua Polis Daerah Lahad Datu Asisten Komisioner Nasri Mansor berkata, selepas hari keempat pelaksanaan PKP, masih terdapat segelintir masyarakat di daerah ini ‘tidak makan saman’ dengan arahan yang diberikan.

“Setakat ini, Lahad Datu mencatatkan jumlah kes positif Covid-19 sebanyak 32 kes, kedua tertinggi di Sabah selepas Tawau yang mencatatkan 37 kes.

“Namun, apa yang dikesalkan masih ada penduduk dikesan keluar dari kediaman atas tujuan yang kurang jelas,” katanya ketika dihubungi wartawan, di sini, hari ini.

Tambah Nasri, antara kawasan yang dilaporkan berlaku perlanggaran PKP adalah taman perumahan seperti di Sabah Baru, Kampung Durian, Batu 1, pangsapuri dan kampung atau luar bandar.

“Mereka dikesan tidak mengendahkan arahan yang diberikan.

“Justeru, saya berharap agar selepas ini, orang ramai akur dengan keputusan kerajaan yang sedang berusaha membendung penularan pandemik Covid-19,” katanya.

Terdahulu beliau menafikan satu rakaman suara yang tular, menyatakan bahawa Lahad Datu ‘lockdown’ bermula jam 7 malam tadi.

“Ia hanya bertujuan mengarahkan pihak berkuasa menguatkuasakan dan memperketat pelaksanaan PKP selepas masih ramai ingkar arahan tersebut.

“Justeru, saya menafikan ‘lockdown’ di sini,” katanya. – BorneoToday

4036