Dua Lagi Positif Di Tuaran – Madius

TUARAN: Dua lagi individu di Tuaran disahkan positif Covid-19 menjadikan jumlah kes di daerah berkenaan setakat ini sebanyak enam kes.

Ahli Parlimen Tuaran, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau, berkata, dua individu yang didapati positif terbabit bukan dari kluster kumpulan Tabligh sebaliknya daripada kluster kumpulan yang membuat lawatan ke Bangkok, Thailand, baru-baru ini.

“Dua kes ini masing-masing daripada 18 individu termasuk daripada Tamparuli yang membuat lawatan ke Bangkok, baru-baru ini.

Datuk Seri Madius Tangau

“Sehubungan itu, saya menyeru kepada semua masyarakat terutama di daerah Tuaran supaya mematuhi perintah kawalan pergerakan yang dikeluarkan kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

“Saudara saudari sekalian, perkara ini bukan main-main. Perkara ini meliputi soal hidup atau mati. Yang sudah dijangkiti ada yang tua, ada yang muda dan tidak ketinggalan kanak-kanak. Begitu juga dengan mangsa korban,” tambah beliau.

Negeri ini turut mencatat kematian pertama apabila seorang lelaki berusia 58 disahkan meninggal dunia pada jam 6.27 petang, di Hospital Tawau, semalam.

Lelaki yang dikenali sebagai Mohamad Bartuk ini adalah peserta perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur dan dia adalah pesakit pertama yang disahkan positif Covid-19 di Sabah.

Setakat semalam, Sabah mencatat pertambahan 17 kes menjadikan jumlah sebanyak 136 kes.

Dalam perkembangan sama, Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan, hari ini, mengesahkan tiga lagi kematian akibat Covid-19 menjadikan jumlah enam orang, setakat ini.

Noor Hisham berkata, mangsa keempat ialah pesakit kes-238 yang merupakan seorang lelaki berusia 50 tahun.

Pesakit itu, yang dimasukkan wad di Melaka pada 12 Mac lalu, merupakan antara yang mempunyai kaitan dengan kelompok perhimpunan tabligh.

Sementara itu, dua lagi kematian berlaku di Sarawak, membabitkan dua beranak berasal dari Kuching iaitu seorang wanita berusia 79 tahun dan anak perempuannya berusia 40 tahun.

Wanita berusia 79 tahun itu meninggal dunia di sebuah hospital swasta di sini pada jam 2 pagi, sementara anak perempuannya di Hospital Besar Sarawak pada jam 1 tengah hari.

Dalam kenyataannya, Noor Hisham turut memaklumkan terdapat 153 kes jangkitan baru di negara ini, menjadikan jumlah keseluruhan menjadi 1,183.

Sebanyak 90 daripada 153 kes baru itu mempunyai kaitan dengan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid di Sri Petaling, Kuala Lumpur hujung bulan lalu.

BERITA SABAH

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *