COVID-19: Sabah Pendekkan Waktu Operasi ICQS, Khidmat Kereta Api

Jadual baru perkhidmatan kereta api negeri Sabah juga ditetapkan bermula hari ini, khusus untuk tujuan perkhidmatan perlu sahaja.

KOTA KINABALU: Pintu masuk sempadan antara Sabah dan Sarawak di Kompleks Imigresen, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Sindumin-Merapok akan beroperasi dari 6 pagi hingga 8 malam bermula hari ini.

Setiausaha kerajaan negeri Safar Untong berkata, perkara itu diputuskan dalam mesyuarat Sabah Covid-19 Command Centre pada hari ini dalam usaha mencegah penularan virus berkenaan.

Sebelum ini operasi ICQS Sindumin-Merapok adalah dari 6 pagi hingga 12 tengah malam.

Selain itu jadual baru perkhidmatan kereta api negeri Sabah juga ditetapkan bermula hari ini khusus untuk tujuan perkhidmatan perlu sahaja.

“Operasi kereta api dari Kota Kinabalu ke Beaufort telah dihentikan manakala perkhidmatan Beaufort ke Halogilat beroperasi 4 kali sehari bermula jam 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4.30 petang (pergi/balik).

“Perkhidmatan dari Halogilat-Rayoh juga dihentikan, manakala Rayoh ke Tenom 4 kali sehari bermula jam 7.50 pagi (pergi/balik) dan 4 petang (pergi/balik),” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Safar berkata, kerajaan negeri juga memutuskan gelandangan ditempatkan sementara di pusat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga membenarkan operasi kilang memproses makanan dan pengangkutan bahan makanan seperti beras, sayur dan ikan untuk kegunaan domestik.

Semua ketua kampung, pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan pengerusi Jawatankuasa Kesejahteraan Dalam Bandar hendaklah melaksanakan perintah kawalan pergerakan di bawah seliaan masing-masing.

Selain itu, kerajaan negeri turut menegaskan supaya semua perhimpunan awam dan majlis keramaian seperti kenduri, perkahwinan dan acara-acara adat melibatkan orang ramai hendaklah dibatalkan.

“Sekatan jalan raya di seluruh negeri Sabah sedang dikuatkuasakan untuk mempastikan arahan perintah kawalan pergerakan dipatuhi. Orang awam dipohon untuk memberi kerjasama sepenuhnya,” kata beliau. – FMT

411