Tiada Pendakian Gunung Kinabalu Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan

KOTA KINABALU: Aktiviti mendaki Gunung Kinabalu ditutup selama dua minggu berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuat kuasa semalam.

Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah Datuk Christina Liew dan pengarah Taman-Taman Sabah(TTS) , Maklarin Lakim mengesahkan perkara itu dan menambah penutupan itu perlu untuk mengelakkan kemungkinan jangkitan koronavirus (Covid-19) yang semakin merebak.

Timbalan Pengerusi Persatuan Malim Gunung Kinabalu, Richard Soibi berkata, pendaki yang terjejas dinasihatkan untuk berurusan secara langsung dengan TTS dan ejen-ejen pelancongan mengenai hal-hal yang berkaitan dengan penangguhan atau pembayaran balik.

“Mereka yang terjejas dibenarkan menangguhkan pendakian mereka ke tarikh yang lain, manakala mereka yang meminta bayaran balik dinasihatkan untuk merujuk bahagian pengurusan taman atau ejen pelancongan yang mereka tempah sebelum ini,” katanya. – BorneoToday

276