KUALA LUMPUR: Kira-kira 4,000 jemaah tabligh yang menghadiri perhimpunan ijtimak di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur, masih lagi belum ‘menyerah diri’ untuk menjalani pemeriksaan kesihatan ekoran penularan wabak Covid-19.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengesanan peserta ijtimak masih giat diteruskan dan kini kerajaan perlu menggunakan khidmat Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk mengesan kumpulan ini.
Menurutnya, individu terbabit digesa secara sukarela hadir untuk menjalani saringan kesihatan di pusat kesihatan berdekatan untuk mengetahui status terkini kesihatan mereka.
“Setakat ini seramai 4,000 tabligh yang menyertai perhimpunan itu lagi tidak dapat dikesan. Polis akan diminta untuk mengesan kumpulan ini yang masih belum tampil buat saringan.
“Saya juga minta kumpulan ini supaya datang ke pusat kesihatan untuk pemeriksaan tanpa perlu dicari polis,” katanya dalam sidang media khas, semalam.
Dalam sidang media sama, Ismail juga mengesahkan 89 rakyat Malaysia menyertai perhimpunan tabligh antarabangsa di Indonesia sudah dikenal pasti dan kini akan dipantau kepulangan mereka ke tanah air kelak.
Katanya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) sudah dimaklumkan mengenai perkara ini dan kumpulan yang menghadiri perhimpunan itu akan dikuarantin selama 14 hari di pusat kuarantin yang sudah ditetapkan.
“Mereka (peserta tabligh) tidak melakukan kesalahan dari segi undang-undang kerana ke luar negara sebelum perintah kawalan pergerakan dikeluarkan kerajaan cuma kepulangan mereka nanti akan dipantau supaya dapat dikuarantin.
“Selain itu, kerajaan juga akan menjalankan proses kuarantin terhadap rakyat Malaysia dari luar negara yang pulang ke tanah air agar mereka juga dikuarantin supaya pemantauan lanjut dapat dilakukan,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan juga bercadang untuk menggunakan khidmat Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sekiranya perintah kawalan pergerakan ini tidak dipatuhi sepenuhnya rakyat negara ini.
Beliau berkata, sekiranya pematuhan masih di peringkat 60 peratus, kerajaan mungkin akan gunakan khidmat anggota tentera untuk melakukan kawalan khususnya di kawasan luar bandar.
“Namun, saya yakin kita tidak perlu sampai ke tahap itu (guna khidmat ATM) kerana rakyat perlu sedar kepentingan untuk mereka terus berada di rumah sehingga wabak ini dapat dikawal. Kerajaan yakin polis dapat laksanakan (pemantauan larangan kawalan pergerakan),” katanya.
Selain itu, bagi menyelaraskan peranan dan tindakan kementerian terbabit dalam isu Covid-19, kerajaan juga sudah menubuhkan jawatankuasa khas menteri.
Ismail Sabri berkata, jawatankuasa khas itu dianggotai semua 19 menteri selain dibantu Ketua Setiausaha Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN), Ketua Setiausaha Negara, Ketua Polis Negara, Panglima Angkatan Tentera, Peguam Negara dan Ketua Setiausaha kementerian berkaitan.
Menurutnya, jawatankuasa itu sudah bermesyuarat dua kali termasuk semalam dan ia akan diteruskan sehingga 31 Mac ini bagi memastikan pelarasan tindakan diambil dengan lancar bagi menangani wabak Covid-19.
“Dalam mesyuarat berkenaan juga, jawatankuasa khas sudah diberi taklimat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengenai tindakan untuk mengawal pergerakan rakyat di bandar dan luar bandar,” katanya.
Sumber: Harian Metro