TERKINI: 21 Lagi Kes Baharu Positif Covid-19 Di Sabah, 103 Keseluruhan

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan 21 Lagi kes baharu positif Covid-19, menjadikan jumlah keseluruhan kes di negeri ini meningkat kepada 103 kes setakat hari ini.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat, Datuk Frankie Poon Ming Fung dalam status  Facebook miliknya memuat naik statistik terbaharu berkenaan.

Menurut statistik itu, Lahad Datu merekodkan jumlah kes positif tertinggi setakat ini dengan 31 kes, diikuti dengan Tawau 23 kes serta Kota Kinabalu 13 kes.

Manakala tujuh kes di Kinabatangan, enam kes di Sandakan, empat kes masing-masing di Beaufort, Kunak, Sipitang dan Tuaran serta tiga kes di Kota Belud.

Selain itu, Putatan kekal dua kes manakala Papar dan Semporna kekal satu kes.

Setakat ini, Kementerian Kesihatan Malaysia melaporkan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini kekal dua kes iaitu melibatkan seorang (lelaki) peserta perhimpunan tabligh berusia 34 tahun di Hospital Permai, Johor,  dan seorang pastor berusia 60 tahun di Hospital Umum Sarawak.

Untuk hari ini, terdapat sebanyak 117 kes baharu positif Covid-19 termasuk 80 kes berkaitan kluster perhimpunan tabligh. Ia menjadikan jumlah keseluruhan 790 kes termasuk 60 kes yang telah sembuh.

Sehingga kini, 728 orang masih dirawat di hospital seluruh negara termasuk 15 orang di Unit Rawatan Rapi (ICU).

Sebahagian besar kes baharu ini berkaitan dengan kes kluster Perhimpunan Tabligh di Masjid Sri Petaling, Kuala Lumpur.

3418