KOTA KINABALU: Di kala seluruh hospital sedang berjuang menangani Covid-19, Hospital Queen Elizabeth 1 (QEH1), di sini, gempar petang tadi apabila penghawa dingin di tingkat empat bangunan itu terbakar.
Kejadian itu turut mengakibatkan kakitangan serta orang awam di hospital berkenaan cemas seketika dan terpaksa keluar daripada bangunan terbabit.
Bagaimanapun, kejadian kira-kira 4 jam petang itu tidak membabitkan sebarang kecederaan atau kemalangan jiwa.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu jam 4.05 petang.
“Seramai 23 anggota termasuk pegawai bersama lima jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Kinabalu digerakkan ke lokasi kejadian untuk operasi kebombaan.
“Kebakaran membabitkan gegelung penghawa dingin di tingkat empat terbakar dan tidak membabitkan struktur bangunan,” katanya di sini, hari ini.
Menurutnya, kebakaran terpadam dengan sendirinya selepas kakitangan hospital menutup suiz pendingin hawa berkenaan.
“Pasukan bomba seterusnya membuat pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian bagi memastikan tiada lagi bahaya lain.
Sumber: BeritaSabah