Duduklah Diam-Diam Di Rumah – PM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin menyeru rakyat di negara ini supaya tinggal di rumah sahaja dan tidak melakukan perjalanan rentas negeri bagi menjayakan Perintah Kawalan Pergerakan yang diputuskan kerajaan.

Perdana Menteri berkata, pematuhan arahan itu dapat menghindarkan rakyat daripada jangkitan koronavirus baharu (Covid-19) sekali gus dapat membendung penularan wabak itu dan putuskan rantaian jangkitan.

Beliau berkata, inilah tujuan sebenar Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan oleh kerajaan, bukan untuk membolehkan orang ramai balik ke kampung, memenuhi jemputan kenduri, membeli belah di pasar raya, bersiar-siar di taman atau bercuti di tempat peranginan.

“Bukan. Tujuannya ialah supaya saudara-saudari duduk di rumah. Stay at home and protect yourself and your family (Tinggal di rumah dan selamatkan diri serta keluarga).

“Saya sebutkan perkara ini kerana semalam ramai yang balik ke kampung. Saya lihat lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju ke arah utara, selatan dan timur. Stesen bas juga sesak dengan orang ramai yang ingin pulang ke kampung.

“Saya ingin merayu kepada saudara-saudari. Tolonglah. Stay put where (tetap di mana anda berada). Yang ada di Kuala Lumpur, duduklah di Kuala Lumpur. Yang ada di Johor Bahru duduklah di Johor Bahru. Yang ada di Pulau Pinang, duduklah di Pulau Pinang.

“Kalau anda merancang untuk pulang ke kampung, batalkanlah dahulu niat itu. Saya minta tolong untuk tempoh dua minggu ini sahaja,” katanya dalam Perutusan Khas Covid-19, sebentar tadi.

Muhyiddin berkata, tempoh dua minggu pematuhan arahan itu penting bagi membolehkan pihak berkuasa memutuskan rangkaian penularan wabak itu yang semakin serius di negara ini.

“Kenapa? Kerana kita hendak putuskan rantaian jangkitan. We want to break the chain of infection (Kita mahu putuskan rangkaian penularan wabak). Supaya jumlah orang yang dijangkiti wabak Covid-19 ini dapat dikurangkan.

“Kenapa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan ini selama dua minggu? Ini kerana Covid-19 mempunyai hayat inkubasi (incubation) dua minggu.

“Terdapat kes yang mana simptom hanya muncul selepas itu. Kerajaan berharap selepas habis tempoh dua minggu, mereka yang mempunyai simptom berjaya diasingkan untuk diberikan rawatan, menjadikan Malaysia bebas daripada Covid-19,” katanya.

Beliau berkata, jika dalam tempoh ini negara belum berjaya sepenuhnya menangani penularan wabak itu, kerajaan mungkin terpaksa melanjutkan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

“Oleh itu, adalah penting bagi kita semua untuk mengasingkan diri dan keluarga dari terdedah kepada virus Covid-19 dengan berada di rumah.

“Prinsipnya mudah sahaja. Dalam tempoh dua minggu ini, duduklah diam-diam di rumah. Stay at home (Duduk di rumah),” katanya.

Sumber: Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *