Tiada Anggota ESSCOM Lepas Tembakan Di Beluran

BELURAN: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menafikan pembabitkan anggotanya dalam kejadian tembakan rambang senjata ali di sebuah ladang, di sini, Sabtu lalu.

Komandernya Datuk Hazani Ghazali berkata, dalam kejadian jam 4.32 petang itu, sekumpulan lelaki berumur antara 34 hingga 44 tahun tiba di pintu utama ladang berkenaan menaiki kenderaan pacuan empat roda jenis Isuzu Dmax.

“Seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mengaku sebagai anggota ESSCOM dan mendesak pengawal keselamatan membenarkan mereka memasuki ladang tersebut untuk tujuan memburu.

“Bagaimanapun, seorang daripada mereka bertindak melepas beberapa das tembakan secara rambang ke udara menggunakan senjata api selepas mereka tidak dibenarkan masuk oleh pengawal keselamatan bertugas,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Tambahnya, saksi mendakwa kumpulan lelaki itu kemudian bertindak mengutip kelongsong peluru sebelum beredar dari lokasi kejadian.

“Laporan polis berhubung perkara itu sudah dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Beluran dan tiada sebarang kecederaan berlaku.

“Ketika ini, kami sedang giat mengesan suspek termasuk senjata yang digunakan,” katanya.

Sementara itu, Hazani meminta orang ramai menghubungi Pusat Operasi (PUSOP) ESSCOM di talian 089-863181 jika berlaku sebarang keraguan berkaitan sebarang aktiviti jenayah atau penyamaran pasukan keselamatan. – BOrneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *