Sabah Sekat Semua Kemasukan Pelancong Asing Dan Pelawat Asing

KOTA KINABALU: Semua pelancong dan pelawat asing dikenakan sekatan kemasukan ke negeri ini kecuali mendapat kelulusan khas daripada kerajaan negeri.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, kemasukan penduduk yang bukan berasal dari Sabah melalui pintu masuk udara, laut dan darat tidak dibenarkan.

Menurutnya, kebenaran untuk masuk hanya dikecualikan kepada mereka yang mendapat kelulusan khas kerajaan negeri dan mempunyai pengesahan kesihatan.

Beliau berkata, pengesahan kesihatan yang dikeluarkan pihak hospital bagi membuktikan individu terbabit bebas daripada wabak COVID-19.

“Semua perjalanan rakyat Sabah ke luar negara turut dikenakan sekatan menyeluruh. Bagi yang baharu pulang dari luar negara, mereka dikehendaki menjalani pemeriksaan kesihatan.

“Mereka juga perlu melakukan kuarantin secara sukarela (self quarantine) selama 14 hari,” katanya dalam kenyataan di sini.

Shafie berkata, larangan berkenaan adalah selaras dengan Perintah Kawalan Pergerakan bermula 18 hingga 31 Mac 2020 yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kelmarin.

Menurutnya, beberapa perkhidmatan awam kerajaan negeri dan swasta yang disenaraikan sebagai perkhidmatan penting negara yang diperuntukkan di bawah Jadual Pertama Akta Perhubungan Perusahaan 1967 (Akta 177) dibenarkan beroperasi.

Bagaimanapun jelasnya, bagi melancarkan pentadbiran negeri, perkhidmatan awam bagi kementerian, jabatan dan agensi di bawah kerajaan negeri akan diteruskan tertakluk kepada arahan dari semasa ke semasa.

“Kerajaan negeri akan memberikan bantuan yang berpatutan kepada agensi-agensi yang terlibat dalam memberikan perkhidmatan penting negara.

“Semua acara rasmi kerajaan negeri juga ditangguhkan dan dibatalkan termasuklah Pesta Kaamatan, Pesta Kalimaran dan Lepa-Lepa,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengaktifkan pusat gerakan melalui Jawatankuasa Bencana Negeri bermula 12 Mac lepas yang dipengerusikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri (SKN) Datuk Safar Untong.

Menurutnya, Jawatankuasa Bencana Daerah turut diaktifkan di semua daerah yang dipengeruskikan oleh pegawai daerah.

Dalam pada itu, pihaknya turut meminta kerjasama daripada Jabatan Kesihatan Negeri untuk membekalkan data-data terkini dan terperinci berkaitan wabak COVID-19 agar langkah wajar dapat diambil segera.

“Saya menyeru kepada semua rakyat Sabah agar sentiasa mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan. Ini adalah tanggungjawab yang mesti dilaksanakan sebagai rakyat yang prihatin terhadap keluarga, masyarakat, negeri, dan negara kita,” katanya.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *