Covid 19: Lebih Banyak Kes Dijangka Dikesan Di Sabah

Dr Christina Rundi

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menjangkakan lebih banyak kes Covid-19 akan dikesan di negeri ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Sabah, Datuk Dr Christina Rundi berkata, satu kes positif Covid-19 dilaporkan di Tawau baru-baru ini dan susulan itu, pihak JKNS melaksanakan penyiasatan dan pengesanan kontek secara aktif dan pasif.

“Justeru ada kemungkinan lebih banyak kes akan dikesan.

“Sehubungan itu, JKNS memohon agar orang ramai tidak panik dan memberikan kerjasama kepada pejabat kesihatan di seluruh daerah dalam usaha menangani wabak ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, JKNS turut menasihatkan kepada orang awam agar merujuk perkembangan Covid-19 di Sabah menerusi laman sesawang rasmi Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Orang awam juga diingatkan tidak menyebarkan berita atau maklumat yang tidak sahih berkaitan wabak Covid-19 ini. Maklumat terkini mengenai perkembangan semasa kejadian wabak boleh didapati daripada laman sesawang KKM,” katanya.

Pihaknya turut menasihatkan orang awam untuk mengikuti beberapa saranan bagi mencegah penularan wabak seperti mengamalkan tahap kebersihan tinggi dan tidak mengadakan sesi perjumpaan atau majlis membabitkan orang ramai.

“Orang ramai perlu elakkan diri daripada berjabat tangan dan mengunjungi tempat awam bagi mengurangkan penularan penyakit disebabkan oleh titisan sekresi pernafasan (respiratory droplet) dalam kalangan komuniti.

“Orang ramai juga dinasihatkan segera mendapatkan rawatan perubatan sekiranya mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan seperti demam, batuk mahupun kesukaran untuk bernafas,” katanya.

Sumber: Harian Metro

10656