Covid-19: Gereja Katolik Diosis KK Diminta Tangguh Aktiviti

KOTA KINABALU: Ketua Biskop, John Wong dari Diosis Kota Kinabalu mengumumkan semua misa dan aktiviti keramaian melibatkan diosis itu digantung sementara bermula esok sehingga 1 April berikutan pengisytiharan Covid-19 sebagai pandemik oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Wong berkata, keputusan tersebut diambil selepas mendapat nasihat daripada pegawai Kementerian Kesihatan yang telah terlebih dahulu menyarankan agar semua aktiviti keramaian dihentikan.

Archbishop John Wong

Beliau berkata, Kerajaan Sabah juga telah mengeluarkan kenyataan hari ini bahawa semua aktiviti keramaian melibatkan lebih 50 orang perlu ditangguhkan sehingga makluman lanjut.

Katanya, penggantungan sementara aktiviti gereja dibuat bagi mengekang penularan wabak Covid-19 di Sabah yang telah mempunyai beberapa kes disahkan positif.

Berikutan itu katanya, bermula esok, semua misa, mesyuarat dan keramaian seperti kelas ketikis, sesi RCIA, pengakuan dan ‘Station of The Cross’ pada musim puasa dan semua program tidak dianjurkan buat masa ini.

Bagi upacara perkahwinan dan pengebumian perlu dilakukan secara tertutup dan dihadkan kepada ahli keluarga serta kenalan rapat dan mendapatkan pandangan daripada pemimpin paroki masing-masing.

Bagi sakramen lain, semua umat diminta menghubungi pejabat paroki manakala paderi paroki perlu mengambil langkah pencegahan kesihatan ketika menguruskan sakramen.

Beliau memaklumkan mana-mana paroki boleh melakukan siaran langsung misa dalam pelbagai bahasa.

Umat Katolik boleh mengikuti siaran langsung itu melalui internet. Contoh perkhidmatan itu ada disediakan oleh Paroki St Peter Claver di Ranau menggunakan nama Cahaya Kinabalu.

Ketua Biskop Wong menyeru semua umat untuk bersatu pada masa ini dan terus berdoa bersama keluarga masing-masing dan memohon bantuan Tuhan untuk menghentikan penularan Covid-19. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *