350 Jemaah Tabligh Dinasihatkan Tidak Solat Jumaat Sementara

TAWAU: Semua 350 jemaah tabligh dan kontak terdekat diminta tidak hadir ke masjid atau surau bagi menjalankan aktiviti termasuk solat Jumaat dan fardhu bagi mengelakkan risiko penyebaran Covid-19 kepada pihak lain.

Pegawai Kesihatan Kawasan Tawau Dr G Navindran berkata, arahan itu hanya bersifat sementara iaitu sepanjang tempoh kuarantin selama 14 hari yang diberikan kepada mereka.

“Perkara itu sudah dijelaskan oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEINS) dan atas nasihat mufti negeri.

“Hasil perbincangan yang dilakukan, kata sepakat dicapai iaitu meminta semua jemaah tabligh berkenaan mematuhi arahan kuarantin yang dikeluarkan demi kesejahteraan bersama,” katanya kepada media.

Katanya, selepas tempoh kuarantin dan disahkan negatif Covid-19, individu terbabit bebas untuk mengunjungi masjid semula seperti biasa.

Pegawai Tadbir Agama JHEINS Tawau, Kahar Sundu mengesahkan pihaknya mengeluarkan surat pekeliling kepada semua masjid dan surau di sekitar daerah ini mengenai larangan ke atas suspek Covid-19 mengunjungi rumah ibadah dalam tempoh kuarantin.

“Larangan ini termasuk membabitkan mengerjakan solat fardu, solat Jumaat, iktikaf dan tinggal di masjid atau surau.

“Saya berharap agar semua pihak berlapang dada, sabar dan redha dengan situasi yang berlaku sekarang,” katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, semua pihak perlu mematuhi arahan kuarantin dibawah Seksyen 14 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

“Kegagalan mematuhi larangan berkenaan dianggap sebagai ingkar dan melakukan kesalahan mengikut Seksyen 20 dan boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

“Pihak kami memberi jaminan kepada Pejabat Kesihatan Kawasan Tawau bahawa kami akan membantu melaksanakan serta menguatkuasakan arahan itu,” katanya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *