Covid-19: FKAT Ditunda, Hospital Besar Tawau Dirikan Khemah Khas

TAWAU: Festival Kebudayaan Antarabangsa Tawau (FKAT) 2020 yang dijadualkan berlangsung bulan ini ditangguhkan sementara atas faktor keselamatan dipercayai berkaitan dengan penularan virus Covid-19, di sini, hari ini.

Presiden Majlis Perbandaran Tawau (MPT) Datuk Ir Amrullah Kamal mengesahkan penangguhan itu ketika dihubungi media selepas mempengerusikan mesyuarat penganjuran FKAT 2020, di Dewan Persidangan MPT, hari ini.

“Memang benar FKAT yang sepatutnya dijadualkan berlangsung pada 18 hingga 21 Mac depan, ditangguhkan ke satu tarikh yang belum diketahui.

“Keputusan itu dibuat atas nasihat Jabatan Kesihatan Daerah Tawau yang turut hadir dalam mesyuarat itu tadi,” katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengulas lanjut sebab penangguhan tersebut, namun, ia dipercayai sebagai langkah berjaga-jaga terhadap risiko penularan Covid-19.

Sementara itu, sebuah khemah khas dipercayai sebagai lokasi saringan kesihatan didirikan di luar bangunan Hospital Besar Tawau (HBT), kira-kira jam 1.30 petang tadi.

Tinjauan Borneo Today mendapati kira-kira 20 orang petugas hospital sedang giat melakukan pembinaan khemah termasuk penyediaan beberapa peralatan seperti katil dan alat pemeriksaan kesihatan.

Pengarah HBT Dr Norlimah Arsad yang ditemui, enggan mengulas lanjut pembinaan khemah itu.

Bagaimanapun, pihak media dimaklumkan satu sidang media akan diadakan esok bagi menjelaskan perkara berkaitan termasuk membabitkan Covid-19.

Sumber: BorneoToday