Sabah Benam Felda United Di Likas

KOTA KINABALU: Pasukan Sabah mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Super apabila membenam Felda United FC 3-1 di Stadium Likas, Kota Kinabalu, malam tadi. 

Kemenangan Sabah di hadapan hampir 5,000 penyokong itu juga menyaksikan pemain import mereka, Petrus Shitembi menjadi perhatian apabila bukan saja mempersembahkan permainan menarik, malah turut melalukan tiga bantuan gol buat pasukannya. 

Tuan rumah tidak perlu menunggu lama untuk memperolehi gol pertama apabila Rodoljub Paunovic menanduk masuk sepakan sudut Petrus Shitembi pada minit ke-11 bagi menjadikan kedudukan 1-0.

Skuad kendalian Kurniawan Dwi Yulianto yang kali ini dilihat menggunakan formasi 4-4-2 ternyata lebih banyak menguasai permainan terutama dengan gerakan-gerakan menarik Shitembi yang sering mengelirukan lawan. 

Pemain dari Nambibia itu kemudian sekali lagi menjadi pencetus jaringan buat Tambadau apabila sepakan sudutnya pada minit ke-38 membolehkan Park Taesu menanduk bola masuk ke gawang bagi menjadikan kedudukan 2-0.

Bermula babak kedua, Felda United yang ketinggalan dua gol dilihat cuba mencari jaringan awal namun barisan pertahanan Sabah yang dikemudi ketua pasukan, Rawilson Batuil seakan sukar digugat lawan. 

Peluang terbaik pelawat kemudian hadir pada minit ke-66 hasil rembatan Nicolas Leandro Velez dari dalam kotak penalti tetapi penjaga gol Sabah, Wan Muhammad Azraie Wan Teh bertindak cemerlang menepis bola keluar. 

Pada minit ke-71, senjata baharu Tambadau, Kassy Guy Gnabouyou gagal memanfatkan peluang walaupun hanya berdepan penjaga gol, manakala cubaan susulan Paunovic selepas itu juga berjaya dihalang pertahanan lawan. 

Kegagalan tuan rumah memanfaatkan peluang itu akhirnya dihukum Felda United apabila mereka merapatkan jurang pada minit ke-71 hasil rembatan kaki kiri kencang, Mohd Khairul Amri Mohd Kamal bagi menjadikan kedudukan 2-1.

Bagaimanapun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila pemain yang baru dimasukkan, Maxsius Musa meledak gol ketiga pada minit ke-76, juga hasil hantaran Shitembi.

Kedudukan itu kemudian kekal sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat, seterusnya mengesahkan tiga mata menjadi milik tuan rumah. 

Keputusan lain:

Liga Super
JDT 2 UITM 1

KEDAH 3 TERENGGANU 4

SELANGOR 1 PERAK 1

Liga Perdana
SARAWAK UNITED 4 JDT II 2

KUALA LUMPUR 3 NEGERI SEMBILAN 1

PULAU PINANG 4 SELANGOR II 1

Sumber: StadiumAstro

7587