Operasi Khas ESSCOM Tahan 25 PATI

SANDAKAN: Pihak berkuasa Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) menahan 25 pendatang asing tanpa izin (PATI) menerusi Op Gasak yang dilancarkan di pusat bandar dan Kampung Forest, di sini awal pagi ini.

Dalam operasi membabitkan 90 anggota keselamatan yang dilancarkan bermula pukul 3 pagi itu, seramai 99 orang diperiksa dan daripada jumlah itu, seramai 25 orang ditahan kerana tidak mempunyai sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau meragukan.

Komander Esscom, Datuk Hazani Ghazali berkata, mereka yang ditahan membabitkan 13 lelaki dan 12 wanita termasuk dua kanak-kanak perempuan dan dibawa ke pusat tahanan sementara (PTS) Sandakan untuk tujuan dokumentasi sebelum dihantar ke negara asal masing-masing.

Katanya, Op Gasak diteruskan di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (Esszone) antara lain bertujuan membasmi  kehadiran PATI di lokasi ‘hotspot’, sekali gus membebaskan daerah ini daripada kehadiran PATI yang menjadi punca berlakunya jenayah di Esszone termasuk penyeludupan dadah,  rokok dan barang terkawal.

“Operasi ini juga bertujuan untuk mengesan dan menghapuskan tali barut kepada kumpulan culik untuk wang tebusan (KFR) yang disyaki menjadi dalang kepada semua kes penculikan di kawasan pantai timur.

“Semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Hazani berkata, Esscom akan memperhebatkan lagi Op Gasak dalam usaha membasmi kehadiran PATI, sekali gus memburu saki baki tali barut KFR.

Katanya, ancaman dikesan masih wujud dan sering berlaku di kawasan ‘hotspot’ khususnya di pantai timur Sabah dan perlu ditangani secara berkesan bagi memastikan kawasan terbabit bebas daripada kegiatan jenayah rentas sempadan yang boleh menggugat keharmonian dan kesejahteraan hidup penduduk. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *