Penggal Kepala Ibu, Keluarkan Otak & Cium Depan Kenalan Keluarga

Tammy Carey (kiri) dan ibunya Odessa Carey (kanan). – Foto The SUN

Seorang wanita memotong kepala ibunya berusia 73 tahun dengan pisau dan gunting sebelum mengeluarkan otak dan menciumnya di hadapan kenalan keluarga.

Mahkamah Newcastle dimaklumkan bahawa Odessa Tammy Carey, 36, didakwa memukul ibunya hingga meninggal dunia di rumah mereka di Ashington, Northumberland.

Selepas itu, suspek memotong kepala dan membuat potongan silang dari perut untuk mengeluarkan otak ibunya yang turut mempunyai nama seakan sama dengan defendan iaitu Odessa Carey.

Daily Mail melaporkan tertuduh kemudian meletakkan kepala mangsa di dalam beg, membawanya keluar dan menciumnya di hadapan kenalan keluarga mereka.

Mayat warga emas itu pula ditemui di atas katil manakala otaknya di dalam bilik air.

Didedahkan juga bahawa kepalanya ditemui di dalam almari di bawah sinki sebuah rumah lain yang juga lokasi sama tertuduh bersembunyi.

Tertuduh menghadapi pertuduhan membunuh, tetapi tidak cukup sihat untuk dibicarakan.

Juri akan memutuskan sama ada Odessa melakukan perbuatan membunuh atau tidak dan sama ada dia bersalah atau tidak.

Pendakwa Raya Nicholas Lumley QC memberitahu mahkamah bahawa mangsa yang menggunakan skuter untuk bergerak ditemui mati pada 8 April tahun lalu.

“Ketika ditemui, warga emas itu terbaring di atas katil, kepalanya hilang dan bahagian abdomen dan perutnya terbelah serta memperlihatkan isi perut.

“Di dalam bilik air pula, ada bekas plastik yang penuh darah dan ada sisa otak. Ada juga alatan seperti gunting, pisau dan pengetuk kayu,” kata Lumley.

Pihak juri turut ditunjukkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) memperlihatkan Odessa membawa beg didakwa berisi kepala ibunya di jalanan sebelum penemuan menyayat hati itu.

Perbicaraan bersambung pada tarikh yang ditetapkan kemudian. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *