KOTA KINABALU: Peniaga dan pekerjanya berhadapan detik cemas apabila bangunan kedai dan stor barangan elektrik terbakar kira-kira jam 3.30 petang di Inanam.
Ketua Zon Kota Kinabalu Hamsa Isnurdini berkata sebaik mendapat panggilan kecemasan pihaknya menggerakkan keseluruhan 20 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu ke lokasi kejadian.
“Kebakaran membabitkan bangunan kedai dan stor barangan elektrik seluas 40X100 kaki persegi dan semasa operasi pemadaman pihak bomba mengalami kesukaran untuk mendapatkan air dari pili bomba.
“Operasi pemadaman bagaimanapun berjaya dilaksanakan menggunakan sumber air dari dua jentera pemadam bomba yang menampung kira-kira 20,000 liter air setiap satu,” katanya.
Beliau berkata kebakaran dapat dikawal jam 4.15 petang dan mujurlah tiada mangsa yang dilaporkan cedera dalam kes ini.
Tambahnya punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak forensik bomba.
Sementara itu pemilik kedai yang ditemui di lokasi kejadian berkata mereka hanya menyedari berlakunya kebakaran selepas jiran yang bekerja di kedai bersebelahan memaklumkan kejadian berkenaan.
“Sebaik mendapat tahu berlakunya kebakaran saya dan tujuh pekerja lain segera memindahkan barangan yang mampu dialihkan dari kawasan kedai.
“Orang ramai yang berada di lokasi kejadian membantu untuk memanggil bomba sebelum pihak bomba tiba kira-kira beberapa minit kemudian,” katanya.
Beliau yang sudah tiga tahun menjalankan perniagaan di kedai itu berkata pihaknya juga berusaha untuk memadamkan kebakaran menggunakan air serta alat pemadam api bagaimanapun keadaan api yang cepat merebak tidak mampu dikawal.
“Kami juga tidak sempat mengira stok barangan yang disimpan berikutan berlakunya kemasukan serta keluaran stok setiap masa tambahan pula kejadian berlaku secara tiba-tiba.
“Mujurlah pihak bomba cepat melaksanakan tugas dan tiada kecederaan kepada pekerja kami,” katanya.
Sumber: Utusan Borneo