Mercu Tanda Baharu Bandaraya Kota Kinabalu Bernilai RM3.5 Bilion

Shafie (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen diantara Kumpulan Yayasan Sabah dan Zillion Ventures Sdn. Bhd.

KOTA KINABALU: Kumpulan Yayasan Sabah dan Zillion Ventures Sdn Bhd meterai Perjanjian Pembangunan untuk membina The Waterfront bernilai RM3.5 bilion

Usaha itu bertujuan membangunan sebuah pembangunan komersial campur yang terdiri daripada hotel, premis perniagaan, pangsapuri dan suites.

Perjanjian berkenaan disempurnakan oleh Pengarah Yayasan Sabah Datuk Jamalul Kiram  Mohd. Zakaria bersama Pengarah Zillion Ventures Sdn Bhd Datuk Yeo Hock Ching sambil disaksikan oleh Setiausaha Korporat Yayasan Sabah  Dr. Ishak Haji Johari dan Pengarah Zillion Ventures Sdn Bhd Redzuan Kupamuthu @Ismail.

Turut hadir menyaksikan perjanjian berkenaan ialah Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Menurut Jamalul dalam satu kenyataan di sini kelmarin,  The Waterfront adalah sebuah pembangunan campur moden yang akan membangunkan lagi kawasan sedia ada iaitu KK Waterfront dan Anjung Samudera.

Katanya, kawasan berkenaan adalah menjadi lokasi tumpuan utama pelancong di bandaraya kerana ia menempatkan pusat hiburan, restoran dan pemandangan matahari terbenam.

Menurutnya, pembinaan yang dilakukan itu boleh memberi manfaat kepada Kumpulan Yayasan Sabah untuk mendapat pendapatan dana diperlukan bagi memberikan bantuan dalam bentuk biasiswa kepada pelajar. Pembinaan itu juga mampu mewujudkan peluang pekerjaan.

Sementara itu, Yeo percaya bandaraya ini mempunyai potensi besar untuk menjadi destinasi utama kepada pelancong antarabangsa memandangkan Kota Kinabalu dikurniakan kekayaan alam sekitar, pulau-pulau, pantai serta pemandangan yang cantik.

Katanya,  kos pelaburan untuk pembinaan projek berkenaan bernilai RM3.5 bilion dengan pelbagai kemudahan fasiliti bertaraf antarabangsa bakal dibina di kawasan berkenaan.

Yeo percaya Ketua Menteri mampu mencapai visinya untuk membangunkan negeri ini dengan siapnya projek itu nanti.

Sumber: Utusan Borneo

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *