PGA Beluran Tahan 10 Pendatang Asing Tanpa Izin

Antara Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang ditahan.

BELURAN: Batalion 20 Pasukan Gerakan Am (PGA) Beluran berjaya menangkap 10 warga asing dalam dua kes berasingan di sini.

Tangkapan pertama membabitkan lima warga Filipina 19 hingga 52 tahun di jalan Manduring, Ulu Sapi, kira-kira pukul 8 malam, Sabtu.

Ia susulan pemeriksaan dilaksanakan sepasukan anggota diketuai Koperal Majang Anak Entawan ke atas sebuah kenderaan jenis PERODUA Alza yang dinaiki semua suspek.

Pegawai Pemerintah BN 20 PGA Beluran, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pemeriksaan lanjut ke atas semua suspek mendapati mereka tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Katanya, kes kedua membabitkan tangkapan lima lagi warga Indonesia yang dibuat di jalan Ladang Monsok oleh pasukan yang sama kira-kira jam 10.20 malam tadi.

“Semua suspek berusia antara 22 hingga 47 tahun menaiki sebuah kereta pacuan empat roda.

“Pemeriksaan turut mendapati semua suspek tidak memiliki sebarang pengenalan diri. Semua suspek dibawa ke Balai Polis Beluran untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

1068