Giliran Penyokong United Ketawakan Liverpool

Penyokong Manchester United. Foto hiasan.

LONDON: Selepas penyokong Arsenal, kini giliran penyokong Manchester United pula mentertawakan kekalahan Liverpool.

Penyokong The Gunners jelas begitu gembira selepas Watford mengejutkan Liverpool hujung minggu lalu sekali gus memastikan hanya pasukan London Utara itu kekal sebagai pasukan yang mengharungi semusim tanpa tewas yang dilakar pada 2003-04.

Di sebalik keputusan terbabit, anak buah Jurgen Klopp itu masih berpeluang mengulangi kejayaan United merangkul ‘treble’ 1999 apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu masih bertanding dalam Liga Juara-Juara dan Piala FA.

Namun, impian mereka lebur pagi tadi apabila tewas pada pusingan kelima Piala FA kepada Chelsea.

Gol daripada Willian dan Ross Barkley bukan setakat menamatkan impian mereka untuk ke Wembley, namun menyaksikan mereka kini tewas tiga daripada empat perlawanan dan tewas tiga kali berturut turut di tempat lawan.

Penyokong United menyambut ‘khabar gembira’ ini dan berkata ‘jangan bandingkan pasukan Liverpool ini dengan pasukan United yang memenangi treble 1999. Mereka jauh lebih baik.’

Seorang lagi berkata ‘Liverpool hilang peluang melakar ‘Invincibles’ dan treble hanya dalam tempoh empat hari. Inilah keindahan dalam bola sepak.’

Malah ada juga yang berkata ‘ Liverpool tidak boleh menjadi pasukan tanpa kalah, tidak boleh menang treble dan mungkin tersingkir daripada Liga Juara Juara. Mereka hanya seperti Leicester City 15/16’. – Agensi

1140