
KUALA LUMPUR: Dua pendatang baharu Liga Super, PDRM dan Sabah meraih mata pertama musim ini selepas terikat tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, sebentar tadi.
Kegagalan jentera serangan kedua-dua pasukan itu menyudahkan beberapa peluang terhidang menyaksikan mereka sekadar berpuas hati dengan satu mata.

Di Jengka, nasib sama turut menimpa FELDA United dan PJ City selepas aksi di Stadium Tun Abdul Razak berkesudahan 1-1.
Jaringan pembukaan perlawanan hanya terhasil selepas 47 minit permainan apabila rembatan leret Arif Farhan berjaya meletakkan FELDA United berada di depan.

PJ City mendapat peluang terbaik untuk menyamakan kedudukan pada minit ke-65 selepas mendapat sepakan penalti, namun peluang itu gagal disempurnakan Aboubacar Camara.
Kekecewaan itu bagaimanapun ditebus Mahali Jasuli apabila bekas pemain Selangor itu meledak gol penyamaan pada minit ke-74.
Sumber: Berita Harian