Tun M Dakwa Dapat 114 Sokongan Jadi PM Ke-8

Perdana Menteri interim, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama sebahagian Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) yang mengadakan mesyuarat di Yayasan Al-Bukhary, Kuala Lumpur, malam ini.

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa mendapat sejumlah 114 Ahli Parlimen yang menyokongnya sebagai Perdana Menteri kelapan.

Perdana Menteri interim itu berkata, beliau sudah menyediakan surat untuk dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menerangkan kedudukan perkara itu serta sokongan 114 Ahli Parlimen berkenaan.

“Saya berharap pihak Tuanku Yang di-Pertuan Agong menerima surat dan penjelasan saya.

“Semua jumlah Ahli Parlimen yang menyokong saya sebagai Perdana Menteri kelapan dalam bentuk Akuan Bersumpah (SD) dan juga surat rasmi dari Ketua Parti akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong,” katanya dalam satu kenyataan sembilan perenggan yang disertakan bersama lampiran nama Ahli Parlimen yang menyokong beliau sebagai Perdana Menteri kelapan, malam ini.

Dr Mahathir turut menjelaskan sebagai Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), beliau bersama lima lagi Ahli Parlimen parti itu tidak bersama menyokong pelantikan Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin.

Justeru, katanya, jumlah sokongan BERSATU seperti dipersembahkan kepada Yang Di-Pertuan Agong adalah tidak tepat.

Enam Ahli Parlimen BERSATU yang telah menandatangani SD yang tidak menyokong Muhyiddin adalah beliau, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Sri Mukhriz Mahathir; Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman; Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah; Ahli Parlimen Simpang Renggam, Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Kuala Pilah, Eddin Syazlee Shith.

Selain enam Ahli Parlimen BERSATU, lampiran itu menyenaraikan 40 Ahli Parlimen PKR, 41 Ahli Parlimen DAP, 10 Ahli Amanah Negara (AMANAH), lapan Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (WARISAN), empat Ahli Parlimen Bebas dan masing-masing satu dari Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) dan Gabungan Bersatu Sabah (GBS).

Perikatan Nasional yang terdiri daripada segelintir pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Muafakat Nasional (UMNO dan PAS), MIC serta MCA dilaporkan mempunyai majoriti mudah, iaitu 114 undi dalam kalangan Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan.

Susulan itu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Mustafa Billah Shah berkenan melantik Muhyiddin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *