Sabah Sekat Kemasukan Pelancong Dari Korea Selatan

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengeluarkan sekatan perjalanan ke atas semua pelancong warga asing yang mempunyai sejarah perjalanan terbaharu ke Korea Selatan.

Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Safar Untong berkata, biarpun Sabah tidak mencatatkan sebarang kes positif koronavirus (Covid-19), kerajaan Sabah mengambil pendekatan memperluaskan sekatan perjalanan dari semua pintu masuk negeri berkuatkuasa 1 Mac.

Beliau berkata, semua pelancong yang mempunyai sejarah perjalanan dari Korea Selatan dalam tempoh 14 hari tidak dibenarkan masuk ke Sabah.

SAFAR

Namun, semua penerbangan dari Korea Selatan ke Sabah yang membawa penumpang warga Malaysia dibenarkan masuk ke negeri ini.

“Warga Korea Selatan dan pelancong asing yang tiba menaiki penerbangan bukan langsung dari Korea Selatan dibenarkan.

“Semua penerbangan keluar dari Sabah ke Korea Selatan dibenarkan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, semua penumpang yang transit melalui Korea Selatan tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah.

Mengulas lanjut, warga Korea Selatan di Sabah juga dinasihatkan untuk pulang ke negara asal mereka sebelum visa mereka tamat tempoh.

Beliau berkata, jika visa mereka tamat tempoh, mereka dibenarkan melanjutkan tempoh visa selama tujuh hari.

Sekatan itu dikeluarkan berikutan 17 kematian akibat jangkitan wabak Covid-19 di Korea Selatan dengan 2,931 orang dijangkiti wabak berkenaan.

Semalam, kerajaan Sarawak turut mengeluarkan sekatan ke atas semua pelancong asing yang mempunyai sejarah perjalanan terbaharu ke Korea Selatan. – BorneoToday