Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA), Syed Saddiq Abdul Rahman tetap dengan pendirian untuk tidak bekerjasama dan mendirikan kerajaan dengan golongan perasuah.
Menurutnya, pendiriannya itu bukan lagi kepada soal parti atau majoriti sebaliknya ia menyentuh soal identiti dan integriti.
“Saya menjadi ahli politik kerana pada masa itu negara saya dihina, dikeji dan dimalukan dengan salah laku serta rasuah di mata dunia. Saya percaya rakyat Malaysia berhak mendapat sebuah negara yang lebih baik, bebas rasuah, dihormati dan bermaruah.
“Saya ingin tegaskan satu perkara, saya tidak akan sesekali bekerjasama dengan golongan perasuah, jauh sekali bersetuju untuk mendirikan kerajaan bersama dengan mereka,” katanya menerusi video yang dimuat naik di akaun Twitter rasminya @SyedSaddiq, hari ini.
Syed Saddiq berkata, beliau percaya pendiriannya itu tidak akan disenangi segelintir ahli politik.
“Ahli politik datang dan pergi, rakyat Malaysia adalah tuan sebenar negara ini. Biar mati bermaruah jangan hidup dijajah,” katanya.
Semalam, Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya dilaporkan berkata, Tan Sri Muhyiddin Yassin diputuskan sebagai calon Perdana Menteri kelapan dalam mesyuarat yang dihadiri 36 Ahli Parlimen parti itu di Yayasan Al-Bukhary.
Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Takiyuddin Hassan menerusi kenyataan bersama juga mengumumkan 57 Ahli Parlimen Muafakat Nasional bersetuju mencalonkan Muhyiddin.
Sumber: Harian Metro