KOTA KINABALU: Kerajaan negeri memperluaskan larangan perjalanan ke Korea Selatan susulan penularan wabak Covid-19.
Menerusi kenyataan dikeluarkan Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah hari ini, sekatan perjalanan meliputi semua pusat kemasukan udara, laut dan darat berkuat kuasa serta-merta bermula 1 Mac ini.
“Penerbangan masuk dari Korea Selatan ke Sabah yang membawa penumpang warga negara Malaysia dibenarkan masuk.
“Kebenaran ini juga untuk warga negara Korea Selatan dan pelancong selain warga negara Korea Selatan yang tiba dengan menggunakan penerbangan tidak langsung dari Korea Selatan serta penerbangan keluar dari Sabah ke Korea Selatan,” katanya.
Larangan turut menegaskan, warga asing dan warga negara Malaysia, yang bukan penduduk Sabah, dengan rekod perjalanan ke Korea Selatan dalam tempoh 14 hari, tidak akan dibenarkan memasuki Sabah.
“Mana-mana penduduk Sabah, pemastautin Sabah dan penduduk Sabah di bawah pas kerja, pas pelajar, pas lawatan sosial jangka panjang atau apa-apa perintah pengecualian yang pulang dari Korea Selatan tertakluk kepada kuarantin sendiri di rumah selama 14 hari.
“Semua penumpang transit yang berasal atau melalui Korea Selatan tidak akan dibenarkan masuk ke Sabah,” katanya.
Kerajaan negeri juga menasihati warga negara Korea Selatan, yang masih berada di Sabah, untuk berlepas atau kembali ke negara asal semula sebelum tempoh visa mereka tamat.
“Sekiranya visa tamat tempoh, hanya satu perlanjutan visa untuk maksimum tujuh hari boleh diberikan,” katanya.