Lipas berkeliaran undang musibah
TAWAU: Sebuah premis makanan di Sentral Market, Pasar Gantung, Tawau diarah tutup serta-merta selepas didapati beroperasi dalam keadaan kotor dan menjijikkan menerusi Ops Premis Bersih Siri 04/2020, malam tadi.
Malah, pemeriksaan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Tawau turut mendapati lipas berkeliaran di ruang penyimpanan makanan, sinki dan almari selain keadaan dapur serta tong sampah kotor dipenuhi sisa makanan.
Pegawai Kesihatan Persekitaran, Rahman Sampe berkata, susulan itu arahan penutupan sementara selama 14 hari dikeluarkan kepada pemilik premis berkenaan bagi membolehkan kerja pembersihan dilakukan.
Menurutnya, sepanjang operasi hampir empat jam berakhir 11 malam itu, sebanyak 28 premis diperiksa selain 27 notis dikeluarkan membabitkan pelbagai kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009.
“Operasi berterusan ini bertujuan melindungi pengguna khususnya pelanggan daripada bahaya penyakit atau mengalami keracunan makanan akibat tidak dikendalikan dengan betul dan premis tidak bersih.
“Sehubungan itu, kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pengusaha atau pengendali makanan gagal mematuhi peraturan ditetapkan termasuk berdepan tindakan mahkamah,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Pada masa sama, beliau menggesa semua pemilik premis mendaftarkan premis mereka selain memastikan setiap pekerja mendapat suntikan vaksin serta mematuhi etika pemakaian dan pengendalian makanan.
Menurutnya, setiap majikan wajib menghantar pekerja mengikuti kursus atau latihan pengendalian makanan sebelum sijil dikeluarkan sebelum mereka boleh diambil bekerja.
Sumber: Harian Metro