852 Peluru Ditemui Di Persisir Pantai Di Labuan

alah satu peluru hidup Calibre .303 yang ditemui sekumpulan penduduk kampung.

LABUAN: Sekumpulan penduduk tempatan yang sedang memukat ikan di pesisir Pantai Sungai Miri, Labuan terkejut apabila menemui kotak kayu berisi 852 peluru lama jenis Caliber .303.

Peluru lama itu ditemui dalam kotak disaluti simen yang terdampar di kawasan pantai berkenaan, kira-kira 7 pagi semalam.

Bimbang dengan penemuan itu, mereka kemudian ke Balai Polis Labuan untuk memaklumkan hal terbabit.

Keadaan peluru hidup yang berselerak ketika ditemui di pesisir pantai Sungai Miri, Labuan.

Difahamkan, kotak kayu itu terdampar di pantai dalam keadaan pecah dan menampakkan bahagian dalam kotak terbabit.

Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Muhamad Farid Ahmad berkata, sepasukan polis bergegas ke lokasi sebaik dimaklumkan penemuan kotak kayu berwarna hitam bersaiz 30 sentimeter (sm) panjang, lebar 15.24 sm dan tinggi 20 sm.

“Keadaan kotak kayu itu usang dan pecah ketika ditemui dan pemeriksaan lanjut menemui 852 peluru jenis Coliber .303,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Keadaan peluru hidup yang berselerak ketika ditemui di pesisir pantai Sungai Miri, Labuan.

Beliau berkata, peluru lama itu dipercayai digunakan untuk senjata api jenis Rifle MK 2, 3 dan 4 pada 70-an.

“Ciri-ciri peluru itu mendapati di bahagian tapak amunisi (Rimless) menunjukkan tulisan “tahun 1942 MG VII.”

“Polis masih lagi menjalankan siasatan berikutan penemuan peluru-peluru berkenaan,” katanya.

Sumber: Harian Metro

4056